fbpx

Operasi menyelamat mangsa perlahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR pemandangan dari udara menunjukkan Menara Champlain Selatan yang runtuh pada Khamis lalu di Surfside, Florida. – AFP

FLORIDA, Miami – Empat orang disahkan meninggal dunia dan 159 yang lain tidak dijumpai setakat kelmarin selepas sebuah bangunan pangsapuri berhampiran Pantai Miami runtuh, manakala pasukan penyelamat terus menyelongkar runtuhan untuk mencari mangsa terselamat.

Gabenor Florida, Ron DeSantis meminta punca kejadian segera dikenal pasti. Tragedi itu menyaksikan sebahagian menara se­tinggi 12 tingkat tersebut runtuh.

Datuk Bandar Miami-Dade, Daniella Levine Cava berkata, pihak berkuasa masih belum mengetahui tentang nasib 159 orang yang mungkin sedang tidur apabila Menara Champlain Selatan runtuh pada awal Khamis lalu.

Menurutnya, pihak berkuasa bimbang angka kematian akan meningkat jauh lebih tinggi.

“Kami tidak menemui mangsa terselamat baharu dalam pencarian hari ini (kelmarin).

“Namun, usaha menyelamat akan diteruskan sepanjang malam dan kami harap akan ada berita baik nanti,” katanya pada satu sidang akhbar.

Pasukan penyelamat yang dibantu anjing pengesan melakukan pencarian di lokasi kemala­ngan. Mereka meletakkan mayat-mayat yang ditemui ke dalam beg kuning sebelum dibawa pergi untuk prosedur forensik bagi mengenal pasti identiti mangsa.

 

ANGGOTA penyelamat mencari mangsa yang mungkin masih hidup di bawah runtuhan Menara Champlain kelmarin. – AFP

Namun, sesetengah waris menyuarakan kekecewaan ekoran operasi pencarian berlangsung perlahan.

“Tidak banyak yang dilakukan,” kata Mike Salberg yang datang dari New York selepas kemalangan itu. Lima ahli keluarga Salberg termasuk ibu bapanya masih hilang.

“Saya mahukan jawapan. Keluarga mangsa diketepikan. Kami diberitahu bahawa mereka (pasukan penyelamat) mempunyai anggota terbaik tetapi mereka tidak memiliki kemampuan. Selepas 40 jam kemudian, empat mangsa mati,” katanya kepada agensi be­rita AFP.

Dalam perkembangan berkait­an, Presiden Joe Biden mengirimkan mesej sokongan kepada waris mangsa pada waktu sukar tersebut.

“Ada ramai orang yang menunggu. Adakah mereka (mangsa) masih hidup? Apa yang akan terjadi?,” kata beliau di White House.

Biden bercakap kelmarin bersama DeSantis. Dalam ucapan bersama itu, mereka berkata, waris mangsa berhak mendapat penjelasan tentang punca kejadian.

Bangunan runtuh itu diduduki oleh penghuni tetap, penyewa sepenuh masa dan penyewa bermusim. Beberapa pegawai berkata, mereka tidak pasti bilangan sebenar penghuni ketika bangunan itu runtuh. Blok tersebut menempatkan sekitar 55 pangsapuri.

WARIS mangsa berpelukan ketika operasi menyelamat diteruskan kelmarin. – AFP

Waris mangsa yang hilang pula berkumpul di sebuah pusat komuniti setempat sementara penghuni yang tiada di dalam bangunan ketika bencana berlaku, hilang tempat tinggal dalam insiden tersebut.

Sementara itu, kerajaan Kanada menyatakan kelmarin bahawa sekurang-kurang empat warganya mungkin ‘terjejas’ dalam tragedi itu tanpa mengulas lanjut. Sekurang-kurangnya 18 rakyat Amerika Latin diketahui antara yang hilang termasuk dari Uruguay, Argentina dan Paraguay.

Penolong Penguasa Bomba Miami-Dade, Ray Jadallah berkata, pasukan penyelamat melakukan pencarian berpandukan suara mangsa.

“Kami mempunyai harapan dan setiap kali kami mendengar suara, kami tertumpu ke tempat tersebut,” katanya.

Walaupun punca tragedi masih belum jelas, keadaan bangunan tepi laut berusia 40 tahun itu akan diperiksa dengan diteliti.

Siap dibina pada tahun 1981, Menara Champlain dijangka menerima pengesahan keselamatan semula tahun ini sesuai dengan peraturan keselamatan Daerah Miami-Dade.

Kerja pembaikan turut dilakukan pada bumbung bangunan sebagai sebahagian daripada proses itu.

Menurut satu kajian yang diketuai oleh profesor alam sekitar dari Universiti Antarabangsa Florida, Shimon Wdowinski, mendapan tanah berlaku di lokasi itu pada pertengahan tahun 1990-an.

“Saya tidak tahu sama ada kejadian bangunan runtuh ini dapat diramal. Bagaimanapun, kami mengesan bangunan itu beralih kedudukan pada tahun 1990-an,” kata Wdowinski kepada stesen penyiaran CNN kelmarin. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI