PETALING JAYA – Kerana mahu hilangkan kutu pada seekor kucing, seorang wanita mengambil inisiatif untuk memandikan haiwan peliharaannya dengan serbuk kunyit sehingga kisahnya tular di laman Facebook sejak semalam.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik Afiffah Rozlan, warna kucing peliharaannya itu kemudian bertukar menjadi kekuningan seperti karakter cerita animasi, ‘Pikachu’.
Kucing itu berubah warna setelah dimandikan dengan serbuk kunyit selepas menonton video TikTok yang mendakwa bahan masakan itu dapat menghilangkan kutu pada haiwan peliharaaan.
“Kemungkinan serbuk kunyit yang digunakan berlebihan kerana dalam video yang ditonton, warna kucing tersebut tidak kekuningan.
“Mama minta maaf ya. Rasanya warna kucing dalam video itu tidaklah kekuningan seperti ini. Mohon yang lain jangan kecam. Nanti dah mandi pakai sabun, hilang warnanya,” jelas Afiffah .
Rata-rata pengguna Facebook terhibur melihat perubahan warna kucing itu seperti karakter sebuah cerita animasi, ‘Pikachu’ dan ada juga yang menyamakan seperti lebah.
“Alahai, cantiknya dia. Disebabkan tuan kucing nak hilangkan kutu, dapatlah dia merasa tukar warna kulit,” seloroh pengguna bernama Acu Normala.
“Nama dia bukan kucing, tetapi sudah bertukar kepada Nuning. Kucing kakak ni okey lagi. Hari itu, kucing saya pernah melompat masuk ke dalam periuk kari.
“Baunya seperti kari nasi kandar. Banyak kali jugalah dimandikan untuk hilangkan bau dan warnanya,” kata Haneem Faizal.
“Duduk atas lantai putih, gabungan warna dah macam bendera Perak pula,” gurau Azimah Hj Yahya.
“Penyamaran menjadi lebah. Kau berjaya dik. Tahniah,” ujar Nia Dicky berseloroh. – K! ONLINE.