PETALING JAYA – Bimbang dengan kes bunuh diri yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini, pelakon Catriona Ross tampil menitipkan pesanan khas buat Perdana Menteri.
Menerusi perkongsian yang dimuat naik dalam InstaStory miliknya, Catriona memberitahu perkara tersebut (bunuh diri) berlaku disebabkan beberapa faktor seperti kehilangan kerja semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Menurut Catriona atau nama sebenarnya Catriona Norhayati Ross Bahrin Ross, negara yang sedang menjalani PKP bagi tempoh yang panjang ketika ini disebabkan kesilapan kerajaan sendiri.
“Apa yang berlaku di Sabah (Pilihan Raya Negeri) tahun lalu tidak seharusnya berlaku. Perkara tersebut yang membuatkan kita terpaksa menghadapinya pada tahun 2021.
“Sama ada anda (kerajaan) mahu mengaku atau menafikan, fakta tetap menjadi fakta,” tulisnya.
Pada hantaran sama, pelakon drama fenomena Pujaan Hati Kanda itu turut melahirkan kegusaran terhadap kes bunuh diri yang semakin meningkat pada ketika ini.
“Kes bunuh diri semakin tinggi dan saya menjadi sangat sedih apabila mendengar tentang hal ini. Tiada siapa yang layak mati seperti itu.
“Saya dah tak mampu dengar kes bunuh diri macam ini. Kalau anda kenal sesiapa yang ada masalah, bantulah mereka.
“Adakah anda (Perdana Menteri) sedar apa yang berlaku di sekeliling anda sekarang ini?,” tulis dan soal Catriona.
Terdahulu pada Rabu Kosmo! Online melaporkan seorang lelaki dipercayai mengalami masalah kemurungan disahkan maut selepas terjatuh dari tingkat 10 sebuah pangsapuri di Butterworth, Pulau Pinang.
Hasil siasatan, lelaki berusia 26 tahun itu bertindak terjun dari pangsapuri tersebut disebabkan mengalami tekanan perasaan sejak beberapa hari lalu selepas perniagaan yang diusahakan gagal dan mengalami kerugian teruk. – K! ONLINE