PETALING JAYA – Kerajaan bakal mengembalikan bantuan seperti i-Lestari dan i-Sinar selaras dengan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, beliau telah mengadakan perbincangan dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Bank Negara minggu ini.
Beliau berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada tahun lalu buat pertama sekali dalam sejarah perkenalkan i-Lestari, i-Sinar dan moratorium automatik untuk membantu rakyat hadapi cabaran Covid-19.
“Kita adalah antara negara terawal di dunia memperkenalkan inisiatif sebegini. Pada mulanya digasak oleh suara-suara yang membangkang.
“Kemudiannya, ada dalam kalangan mereka yang sedar kesan positif pada rakyat dan mula menyokong program ini. Alhamdulillah mereka sedar,” katanya menerusi satu kenyataan di laman Facebook hari ini.
Menurut Tengku Zafrul, dengan hadirnya PPN, kini adalah masa yang tepat untuk kerajaan mengembalikan inisiatif sebegini bagi membantu rakyat dan perniagaan.
“Kerajaan tidak pernah putus-putus membantu rakyat dan sentiasa berusaha memikir solusi bersama,” katanya. – K! ONLINE