PETALING JAYA – Kasut Converse pertama di dunia dibuat pada tahun 1917 yang dimiliki oleh seorang pengumpul barang antik di Kelantan telah berjaya dijual pada harga RM40,800.
Perkara tersebut dikongsi oleh pembeli kasut berkenaan yang dikenali sebagai Dynamo Rasqputin melalui akaun Facebooknya malam tadi.
Menurut Dynamo, sebelum ini dia kerap menerima pelbagai tohmahan kerana sanggup melaburkan ribuan ringgit demi membeli barang-barang antik dan minatnya itu sering dikatakan sia-sia oleh segelintir orang.
“Dulu satu Malaysia mengata aku beli baju Geisha buruk dengan harga RM28,000, tetapi, semua diam selepas baju itu dijual kepada seorang pembeli barang vintaj pada harga RM40,000.
“Hari ini, aku ‘lock’ Converse pertama dunia ini dengan RM40,800. Berfikiran waras dan tanpa paksaan,” katanya.
Dynamo berkata, membeli barang antik dengan harga puluhan ribu ringgit semata-mata bagi menyimpan koleksi barang lama ini bukanlah satu pembaziran, malah baginya ia adalah pelaburan alaf baharu.
“Nanti kita sama-sama lihat berapa aku dapat jual kasut ini di pasaran luar negara.
“Aku akan buktikan yang ‘vintage’ ini adalah satu cabang perniagaan juga. Simpan duit dalam bank tak beranak,” ujarnya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan pemilik kasut berkenaan, Wan Irfayuinazain Wan Ab Aziz, 31, terpaksa menjual koleksi kasut tersebut demi kelangsungan hidup.
Menurutnya, kasut itu dibeli daripada pasangan suami isteri yang menetap di Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2018. – K! ONLINE.