fbpx

Jiwa kosong Kaka Azraff

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAKA AZRAFF

JIKA seseorang itu benar-benar cintakan sesuatu yang dikerjakannya, datanglah bermacam pelawaan kemewahan, pilihan utama tetap berakarkan kecintaannya. Begitulah juga dilalui penyanyi yang semakin menderaskan langkah dalam bidang lakonan, Kaka Azraff atau nama lengkapnya, Nor Atiqa Noor Azraff, 32.

Kecintaannya terhadap keluarga dan pekerjaan seiring. Dalam setiap pekerjaan yang dilunaskannya, dia pasti memasangkan dua elemen penting, semuanya harus berpangkalkan kesungguhan dan minat yang tidak berbelah bahagi.

Kaka mula meninggalkan impak luar biasa selepas menjuarai acara berprestij, Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) bersama Noki dan Loca B menerusi karya berjudul Gila.

BAHAGIA menjawat peranan sebagai isteri dan ibu, kata Kaka, perkara tersebutlah yang memberi inspirasi kepadanya untuk terus melakukan yang terbaik dalam bidang seni.
– WARNER MUSIC

Izin suami

Biarpun suasana tanah air teruk berdepan pandemik Covid-19, usai kejayaan umpama ‘bom atom’ itu, Kaka sempat menyelinap mengembangkan bakat lakonannya pula melalui beberapa karya seperti Kampong Pisang Muzikal Raya Istimewa dan kemudian, Pemuja Kubur.

“Selepas mendapat ‘keizinan’ suami, saya boleh cakap yang saya sangat komited dan cinta akan setiap pekerjaan yang saya kerjakan.

“Menyanyi dan berlakon, dua-dua memerlukan komitmen yang tinggi. Walau dalam macam mana keadaan sekalipun, saya akan pastikan komitmen saya tidak akan lari,” kata anak kelahiran Klang, Selangor itu kepada Pose baru-baru ini.

Menjelaskan tentang makna di sebalik perkataan ‘keizinan’ daripada suami, kata Kaka: “Sebelum ini saya kena akui, suami tidak berapa faham dengan kerja saya dan anda semua tahu yang dia mempunyai masalah bipolar dan gangguan obsesif kompulsif (OCD).

“Itu yang saya maksudkan dengan perkataan keizinan.

“Selepas kehadiran anak pertama kami, Aslan, dia semakin terbuka dan lebih memahami. Alhamdulillah,” kata permaisuri hati kepada lelaki bernama Adam Azriff itu.

Ujar Kaka, walaupun rezekinya dalam bidang seni semakin murah, itu bukan alasan buatnya untuk berpeluh tubuh dan berpuas hati dengan apa yang diusahakan selama ini.

MENGIDOLAKAN penyanyi pop, Lady Gaga yang tidak hanya tertumpu kerjaya nyanyian semata, Kaka kini turut menumpahkan bakat dalam bidang lakonan.

Tak peluk tubuh, usaha

Katanya, soal anugerah atau trofi tidak pernah menjadi apa yang dikejarnya. Apa yang penting adalah kepuasan dalam setiap kualiti kerja yang dicernakan.

“Saya nak buat yang terbaik dalam semua perkara. Saya tak nak hanya ala kadar atau melepaskan batuk di tangga.

“Saya percaya masih banyak ruang yang boleh diperbaiki, baik sebagai penyanyi mahupun pelakon. Saya tak kejar trofi tapi kalau dapat (trofi), itu bonus dan perangsang untuk saya terus berusaha keras,” tuturnya.

KEHILANGAN orang tersayang memberi kesan terhadap rentak kerjaya nyanyian Kaka Azraff.

Kehilangan

Bercakap tentang perjalanan kerjaya nyanyiannya yang bergerak mendatar sejak menang AJL35, Kaka tidak menafikan perkara itu.

Katanya, tahun 2021 mengajarnya banyak perkara tentang maksud ‘kehilangan’.

“Saya hilang nenek kesayangan ketika sedang bekerja untuk membuahkan satu usaha yang saya sendiri tak sangka akan jadi kejayaan iaitu lagu Gila di AJL35.

“Saya kuatkan diri dan terus berjalan walaupun dalam hati, hanya saya dan Allah yang tahu bagaimana rasanya.

“Kemudian, sekitar April, saya kehilangan kawan baik yang membawa saya kenal selok-belok industri seni iaitu jurusolek ternama, Emmy Agung atau Yusshaimi Mohamed Yunus,” luahnya.

Katanya, sukar untuk menggambarkan perasaannya saat diberitakan pemergian Emmy yang bukan hanya bertindak sebagai jurusolek tetapi lebih daripada itu atas nama sahabat karib.

“Emmy merupakan salah seorang inspirasi terbesar dan penyumbang tenaga dan idea kerjaya saya.

KAKA muncul dengan sebuah single berjudul Janjiku sejak Mac lalu.

“Sejujurnya, sekarang ini saya rasa macam ‘lost’ dan sebab itu, saya tak banyak rakam lagu. Nak masuk studio pun rasa tiada semangat sebab banyak sangat berdepan dengan rasa kehilangan tahun ini.

“Itu belum lagi campur dengan perihal berkaitan pandemik dan Covid-19 yang saya rasa memberi kesan yang sangat besar kepada semua penduduk bumi, bukan saya seorang,” katanya berhemah.

Sehubungan itu, kata Kaka yang terakhir muncul dengan single Janjiku, dia meletakkan ‘noktah sementara’ terhadap muzik. Keputusan tersebut mungkin berubah sampai saatnya nanti dia benar-benar ingin hadir dengan suatu yang dekat dengan diri.

“Taklah berhenti menyanyi cuma saya sedang hirup udara dan mencari sisi diri saya yang hilang bersama insan-insan yang telah pergi selamanya.

“Jiwa sekarang rasa kosong. Kalau ada ilham nanti dan dunia sudah memulih, bukan saya seorang, semua orang akan mula bergembira dan berbahagia. Doakan untuk semua orang,” ujar Kaka yang juga merupakan anak saudara kepada Ratu Rock Negara, Ella itu menggulung bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI