fbpx

Dolberg wira julang Denmark ke suku akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KASPER Dolberg meraikan jaringan kedua ketika membantu Denmark menang 4-0 ke atas Wales pada aksi pusingan 16 terbaik, Euro 2020 di Johan Cruyff Arena, Amsterdam sebentar tadi. - AFP

AMSTERDAM – Tiada siapa menjangka Denmark yang mengharungi kisah tragis pada awal saingan Euro 2020 kini berjaya mengesahkan tempat sebagai pasukan pertama melayakkan diri ke peringkat suku akhir.

Denmark yang kehilangan khidmat Christian Eriksen kerana serangan jantung ketika aksi pertama menentang Finland, meraih kejayaan itu menerusi kemenangan bergaya 4-0 ke atas Wales pada pusingan 16 terbaik di Amsterdam Arena sebentar tadi.

Skuad bimbingan Kasper Hjulmand itu ternyata berada dalam kelas tersendiri jika dibandingkan dengan Wales meskipun sekali lagi kehilangan pemain utama, Yussuf Poulsen kerana kecederaan sebelum perlawanan tersebut.

Penggantinya, Kasper Dolberg berjaya menjalankan tugasnya dengan baik apabila berjaya membuka tirai jaringan buat Denmark menerusi sepakan lencong menarik pada minit ke-27.

Penyerang OGC Nice itu terus membuktikan kemampuannya mengetuai jentera serangan Denmark menerusi gol kedua selepas memanfaatkan kesilapan benteng pertahanan Wales pada minit ke-48.

Wales yang dibintangi pemain-pemain berkelas dunia seperti Gareth Bale dan Aaron Ramsey terpaksa akur gagal mengulangi pencapaian mereka mara ke separuh akhir sewaktu edisi 2016 di Perancis.

Skuad bimbingan Robert Page itu seakan-akan sudah ‘mengibarkan bendera putih’ selepas Denmark meledak gol ketiga menerusi Joakim Maehle pada minit ke-88 sebelum Harry Wilson dilayangkan kad merah berselang dua minit kemudian.

Denmark memastikan kemenangan bergaya mereka dengan gol keempat menerusi ledakan penyerang Barcelona, Martin Braithwaite empat minit masa tambahan perlawanan.

Kejayaan itu menyaksikan Denmark berjaya mengulangi pencapaian mereka mara ke peringkat suku akhir sebagai lapan pasukan terbaik Eropah seperti dilakukan sewaktu edisi 2004 di Portugal.

Lawan Denmark pada suku akhir di Stadium Olimpik Baku, Azerbaijan pada 3 Julai ini adalah pemenang antara satu lagi aksi pusingan 16 terbaik antara Belanda atau Republik Czech yang berlangsung di Budapest awal pagi esok. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI