PARIS – Seorang lelaki menjadi tular apabila membawa kucing kesayangannya dalam setiap pengembaraan dan aktiviti sukan lasak yang dilakukan, lapor akhbar Daily Mail kelmarin.
Remy Vicarini dari Besancon, Perancis membawa kucing betinanya bernama Cathode untuk semua aktiviti lasak yang dibuat termasuk berbasikal, mendaki gunung dan terjun buai.
Menurut Vicarini, dia membawa Cathode menaiki motosikal buat kali pertama enam tahun lalu selepas mengambil kucing itu daripada sebuah pusat perlindungan haiwan.
“Cathode merupakan seekor kucing yang patuh. Ia juga penuh dengan rasa ingin tahu.
“Oleh sebab itu, saya suka membawa Cathode berjalan-jalan dan ia sangat mempercayai saya sepanjang melakukan aktiviti lasak,” kata lelaki itu.
Lelaki itu sering berkongsi foto pengembaraannya bersama Cathode menerusi akaun Instagram @mon_copain_ray.
Cathode juga akan dilengkapi dengan pelbagai peralatan keselamatan yang diperlukan setiap kali mengikut Vicarini mengembara bagi memastikan keselamatannya. -Agensi