BALIK PULAU – Seorang anggota polis yang mengalami kecederaan luka pada lengan kiri selepas dilibas suspek menggunakan sebilah parang di kawasan kebun Air Terjun Pak Lah, Bayan Lepas di sini pagi tadi dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Anggota berpangkat Koperal dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya itu dikatakan hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Pulau Pinang (HPP).
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, anggota terbabit telah pun menerima rawatan setelah mengalami beberapa kecederaan luka pada lengan kiri.
Menurutnya, mangsa sebelum itu diserang oleh suspek lelaki tempatan berusia 34 tahun dan dilibas menggunakan sebilah parang semasa melakukan tugasan cegah jenayah kira-kira pukul 3.30 pagi.
“Sebaik diserang oleh suspek, anggota lain bertindak melepaskan dua das tembakan ke arah saspek untuk mempertahankan diri dan keselamatan rakan setugasnya (mangsa).
“Dalam kejadian itu, suspek disahkan maut di tempat kejadian dan polis turut menemui sebilah parang berlengkung dan sebatang pemutar skru.
“Hasil pemeriksaan di tempat kejadian turut menemui beg-beg yang diletakkan di belakang pokok berdekatan sebuah pondok dipercayai barangan hasil curi,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan, seorang penjenayah yang cuba menyerang anggota polis dengan bersenjatakan sebilah parang maut ditembak dalam kejadian awal pagi tadi
Kejadian dikatakan berlaku apabila suspek warga yang merupakan orang dikehendaki polis berhubung kes curi dan pecah rumah itu dikesan berada di lokasi tersebut ketika sepasukan polis mahu menahannya. K! ONLINE