fbpx

400 penduduk pinggir Sungai Kelantan lengkap dos vaksin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Petugas kesihatan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Krai menaiki bot selama 40 minit menuju ke PPV Kampung Bahagia, Kuala Krai hari ini.

KUALA KRAI – Seramai 400 penduduk dari 10 buah kampung di pinggir Sungai Kelantan di daerah ini menerima suntikan vaksin dos kedua menerusi Program Outreach Vaksinasi Covid-19 di pusat pemberian vaksin (PPV) di Kampung Bahagia di sini hari ini.

Kampung yang terlibat dalam program itu antaranya Kampung Bahagia, Kampung Mambong, Kampung Raba, Kampung Picung, Kampung Johar, Kampung Pasir Jering dan Kampung Kluat.

Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Krai, Dr. Hazura Mat Zubir berkata, seramai 60 orang petugas dari Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Krai dan Hospital Sultan Ismail Petra di sini membawa 400 dos vaksin itu masuk ke kawasan kampung.

Katanya, petugas-petugas mengambil masa selama 40 minit dengan menaiki bot menuju ke PPV Kampung Bahagia.

“Selain itu, ada petugas yang melalui jalan darat kerana perlu singgah di beberapa buah rumah di Kampung Kluat untuk memberi vaksin kepada penduduk yang terlantar sakit di rumah mereka.

“Pemberian vaksin di 10 buah kampung ini berjalan lancar. 400 penduduk yang sebelum ini menerima vaksin dos pertama diwajibkan untuk mengambil vaksin dos kedua hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita di PPV Kampung Bahagia di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim dan Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman.

Menurut Hazura, secara keseluruhannya, program Outreach Vaksinasi Covid-19 yang dijalankan di 10 buah kampung di daerah ini berjalan lancar.

Tambahnya, Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Krai akan terus masuk ke kawasan kampung di daerah ini dalam usaha untuk mencapai imuniti kelompok bagi penduduk di kawasan pedalaman. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI