SERDANG – Sekumpulan warga asing bertempiaran lari menyelamatkan diri bagi mengelakkan ditangkap penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) dalam satu serbuan di kawasan Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan di sini awal pagi tadi.
Sebahagian daripada mereka yang gagal melarikan diri pula bertindak nekad menyembunyikan diri di pelbagai lokasi seperti di bawah meja dan di sebalik rak penyimpanan barangan namun usaha tersebut hanyalah sia-sia selepas lokasi itu berjaya dihidu pasukan serbuan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Mohamed Said berkata, seramai 72 warga asing berusia 20 hingga 50 tahun dari pelbagai negara berjaya ditahan dalam serbuan Ops Patuh yang dilakukan kira-kira pukul 1 pagi itu.
“Kesemua 72 warga asing yang ditahan terdiri daripada 19 warga Bangladesh, 39 pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), sembilan Myanmar, tiga Indonesia dan masing-masing seorang warga India serta Nepal.
“Mereka yang ditahan akan dibawa ke ibu pejabat Imigresen Selangor untuk tindakan selanjutnya seperti pemeriksaan serta pengesahan dokumen perjalanan dan permit kerja sah,” katanya pada sidang akhbar sebaik selesai operasi.
Operasi berkenaan melibatkan seramai 100 anggota serta pegawai Imigresen dari Putrajaya dan Selangor serta 12 anggota juga pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Menurut Ismail, semakan ke atas kesahihan dokumen tersebut juga akan disahkan memandangkan ada di antara warga asing yang ditahan mendakwa sebagai pemegang kad UNHCR namun gagal mempamerkan kad tersebut apabila diminta.
“Ada di antara mereka yang ditahan mendakwa sebagai pemegang kad UNHCR namun hanya mampu menunjukkan kertas akuan dan bukannya kad fizikal tersebut malah apabila semakan dilakukan ternyata dia belum memiliki kad tersebut dan masih di dalam tempoh menunggu untuk ditemuduga.
“Semakan juga akan dilakukan bagi memastikan warga asing yang ditahan ini bekerja mengikut sektor yang telah ditetapkan kerana ada kes di mana permit dikeluarkan untuk sektor pembinaan tetapi mereka bekerja di pasar borong,” jelas beliau.
Sementara itu, Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, pihaknya telah mengeluarkan kompaun berjumlah RM2 juta susulan pelbagai kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
“Kompaun itu dikeluarkan menerusi 46,552 pemeriksaan yang dilakukan di seluruh negara sejak 1 Jun lalu sehingga semalam melibatkan kekuatan seramai 2,262 penguat kuasa.
“Antara kesalahan yang telah direkodkan antaranya adalah seperti pembukaan sektor yang tidak dibenarkan beroperasi, tidak menyediakan perakam suhu serta tidak merekodkan butiran kehadiran pelanggan,” ulas beliau. – K! ONLINE