BALIK PULAU – Seorang wanita warga emas ditemui mati di dalam sebuah kereta jenis Perodua Axia di hadapan rumahnya di Bayan Baru di sini hari ini.
Mangsa berusia 76 tahun itu ditemui tidak sedarkan diri pada pukul 10.40 pagi oleh sepupunya yang pergi ke rumah tersebut.
Difahamkan, kawasan hadapan rumah yang didiami mangsa tidak terurus dengan dipenuhi banyak sampah-sarap.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, mayat mangsa ditemui di tempat duduk pemandu.
Pemeriksaan awal tidak menemui kesan kecederaan pada tubuh si mati.
Beliau berkata, pihaknya mendapati sepupu wanita itu cuba menghubungi mangsa tiga hari lalu, namun tidak dijawab.
“Kita terpaksa mendapatkan bantuan bomba bagi membawa keluar mayat dan dihantar ke Hospital Balik Pulau untuk dibedah siasat.
“Kes diklasifikasi sebagai kematian mengejut,” katanya. – K! ONLINE