GOMBAK – Tindakan seorang warga emas membenarkan seorang remaja perempuan orang kelainan upaya (OKU) menumpang kenderaannya disalah ertikan apabila dia didakwa cuba menculik gadis itu, hari ini.
Terdahulu, video berdurasi 26 saat tular di laman sosial memaparkan seorang wanita yang mengaku ibu remaja itu bersama orang awam cuba menghalang kereta tersebut termasuk menyerang pemandunya kerana didakwa cuba melarikan anaknya.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, berdasarkan siasatan, pengadu yang berusia 54 tahun bersama anaknya pergi ke sebuah warung di Bandar Country Homes untuk membeli sarapan pukul 9 pagi.
“Selesai membeli sarapan, pengadu menyedari anaknya telah tiada dan peniaga di kawasan berhampiran memaklumkan anaknya mengikut seorang lelaki yang memandu Perodua Viva.
“Kenalan pengadu memuat naik video kejadian di beberapa kumpulan WhatsApp sebelum kereta itu ditemui di Saujana Rawang pada pukul 12.30 tengah hari.
“Bagaimanapun, pengadu mendapati anaknya selamat dan tidak cedera,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Siasatan mendapati mangsa berjalan seorang diri tanpa pengetahuan ibunya dan telah menahan kenderaan yang dipandu warga emas berusia 80 tahun.
“Warga emas itu beranggapan remaja tersebut meminta pertolongan sebelum keretanya ditahan di Saujana Rawang,” ujarnya.
Polis mengesahkan tiada elemen culik atau melarikan dengan cara yang salah sepertimana yang ditularkan.
Pengadu telah menarik semula laporan polis. – K! ONLINE