IPOH – Nasib R. Suganthi, 52, bersama anak perempuannya yang tinggal menumpang di rumah seorang rakan di Taman National Garden di sini terus mendapat perhatian apabila Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kini sedang memproses permohonan bantuan bulanan sebanyak RM300 bagi meringankan bebannya.
Berita baik itu disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Noordin semasa melawat keluarga tersebut hari ini.
Lawatan bersama pegawai JKM Daerah Kinta itu bertujuan mendapatkan gambaran sebenar keadaan wanita tersebut serta anaknya yang juga mengalami masalah kesihatan sehingga menyebabkan dia kehilangan pekerjaan.
Menurut Wan Norashikin, nasib Suganthi serta anaknya, S. Kyiran, 33, yang hilang ingatan disebabkan kemalangan dan kini menumpang di rumah ibu rakannya sejak Januari lalu akan dibantu sebaik mungkin.
“Dia memerlukan bantuan untuk kelangsungan hidup kerana telah kehilangan pekerjaan akibat pandemik Covid-19 dan dalam masa yang sama mereka mengalami masalah kesihatan disebabkan kemalangan yang menimpa.
“Atas dasar keprihatinan kerajaan negeri Perak, maka pihak JKM akan memproses permohonan bantuan bulanan dan sekiranya diluluskan beliau akan menerima RM300 secara bulanan sehingga masalah kesihatan (slip disc) bertambah baik dan dapat kembali bekerja seperti sediakala,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Wan Norashikin hari ini turut melawat ke Pusat Penempatan Gelandangan (PPG) Sementara Daerah Kinta untuk melihat keadaan serta operasi pusat tersebut yang dikendalikan JKM negeri Perak.
Ketika ini seramai 12 penghuni ditempatkan di situ setelah beberapa gelandangan diambil oleh waris, di bawah pemantauan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta dan bagi yang bukan warganegara telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen.
Operasi menyelamat gelandangan yang pertama telah dilakukan pada 5 Jun lalu yang menyaksikan seramai 43 penghuni telah ditempatkan di PPG Sementara tersebut. – K! ONLINE