PETALING JAYA – Pengarah dan penerbit yang terkenal dengan mulut tajamnya, Michael Ang tertanya-tanya tanya sama ada Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP) yang bakal berakhir 28 Jun ini akan disambung atau tidak.
Perkara tersebut diutarakan oleh Michael menerusi satu ciapan Twitter hari ini.
Menurut Michael, perkara tersebut dilakukan kerana dia mahu membuat persediaan sekiranya PKP tidak disambung dan kerajaan membenarkan sektor seni beroperasi semula.
“Betulkan saya jika silap, PKP 3.0 akan berakhir pada 28 Jun nanti. Tarikh hari ini sudah 26 Jun tetapi masih tiada sebarang pengumuman PKP akan disambung atau tidak?
“Kalau tidak disambung, mahu membuat persediaan juga. Kasihanlah kita ya. Jangan last minute atau segeralah umum ya,” ciap pengarah drama Love, Elsa itu.
Untuk rekod, kebiasaannya pengumuman sama ada PKP disambung atau tidak selalunya diberitahu dua hari sebelum oleh Perdana Menteri, Tan Sri Datuk Haji Mahiaddin Haji Md. Yasin atau Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – K! ONLINE