WASHINGTON – Seorang lelaki warga Amerika Syarikat (AS) yang melakukan pelbagai kesalahan melibatkan jenayah seksual terhadap kanak-kanak serta menjadi buruan Biro Penyiasatan Pesekutuan (FBI) berjaya diberkas Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Scott Barry Uchida, 38, ditahan di Kepong, Kuala Lumpur kerana melakukan jenayah rogol tahap dua, mempromosikan penderaan seksual dan rogol terhadap mangsa kanak-kanak di King County, Washington.
Penangkapan itu diumumkan oleh Ejen Khas FBI, Donald M. Voiret menerusi satu kenyataan yang disiarkan di laman web rasmi kerajaan AS.
Pada Januari 2018, Jabatan Polis Kirkland membuka siasatan terhadap kes jenayah membabitkan eksploitasi seksual, rogol dan penahanan tidak sah terhadap tiga orang mangsa remaja antara 2015 hingga 2018.
Mangsa berusia 15 tahun membuat laporan di jabatan polis itu tentang dua orang lelaki yang merogol dan memaksanya untuk melakukan pekerjaan seksual serta merekrut individu lain.
“Uchida telah dikenal pasti sebagai salah seorang suspek itu. Dia telah berkenalan dengan mangsa menerusi aplikasi media sosial meet.me ketika mangsa berusia 12 tahun dan membawa mangsa ke sebuah apartmen lalu mengugut gadis itu dan ahli keluarganya,” katanya.
Pejabat FBI itu juga merakamkan penghargaan kepada PDRM, Jabatan Imigresen Malaysia dan pihak Kedutaan AS di Kuala Lumpur yang menyelaraskan penghantaran suspek untuk dihadapkan ke mahkamah King County. -Agensi