PORT DICKSON – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan meluluskan Bantuan kanak-kanak (BKK) sebanyak RM300 sebulan kepada dua daripada lima beradik yatim piatu yang kematian ibu bapa akibat jangkitan Covid-19.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, lima beradik itu tinggal bersama nenek mereka, Faridah Md Shahar, 74, di rumah milik arwah bapa mereka.
Menurut beliau, JKM telah bertindak segera dengan menyalurkan bantuan kewangan RM300 melalui Tabung Bantuan Segera selain menyerahkan bakul makanan pada 22 Mac dan 8 Jun lalu.
“Dalam kunjungan ini, saya juga menyerahkan surat kelulusan Bantuan Kanak-kanak sebanyak RM300 kepada dua beradik yang masih bersekolah bermula bulan hadapan sehingga mereka tamat sekolah selain khidmat nasihat serta kaunseling.
“Arwah ibu mereka merupakan orang kelainan upaya (OKU) penglihatan dan menerima bantuan Elaun Pekerja Cacat daripada JKM,” katanya selepas melawat lima beradik di Bandar Sunggala di sini sebentar tadi. – K! ONLINE