SUKAR untuk menggambarkan perasaan tatkala melihat dekorasi kediaman milik pasangan suami isteri, Aszalina Alwy dan Dr. Izzat Tajjudin di laman Instagram mereka, ourruma18.
Antara teruja dan cemburu melihat keindahan dekorasi dalam kediaman berkeluasan 139 meter persegi ini, kedua-duanya saling bercampur baur. Tidak dinafikan, bukan sahaja penulis, tetapi sesiapa sahaja yang melihatnya pasti akan jatuh cinta dengan tata rias tersebut.
Menurut Aszalina, kediaman yang mempunyai tiga bilik tidur itu mengetengahkan konsep Inggeris Kontemporari dengan campuran sedikit unsur klasik dan moden.
Tema tersebut memang sengaja dipilih kerana ia bukan sahaja mampu menonjolkan ilusi mewah dan vintage, bahkan sedap mata memandang.
“Sebelum ini saya hanya duduk menyewa dan tidak cenderung untuk menghias kediaman.
“Bagaimanapun semuanya berbeza selepas memiliki kediaman sendiri kerana saya mengambil ungkapan ‘rumahku syurgaku’, selain ia turut dipengaruhi oleh minat mendalam terhadap dekorasi kediaman.
“Jadi, itulah yang cuba untuk dicapai demi keselesaan saya dan suami,” ujarnya memulakan bicara.
Tenang rasanya tatkala sorotan mata meninjau setiap sudut yang terhias kemas di kediaman jenis teres hibrid yang terletak di Bandar Puteri Bangi, Bukit Mahkota, Selangor ini.
Padanan warnanya yang natural bukan sahaja berjaya membuatkan keseluruhan ruang tampak sejuk, bahkan penulis terasa seperti berada dalam kediaman di negara Barat.
Menurut Aszalina, dia memang menggemari warna-warna natural seperti beige dan putih.
Lantaran itu, tona tersebut dipilih untuk mewarnai segenap ruang kediaman.
Biarpun keseluruhan ruang menggunakan warna senada, namun ia sedikitpun tidak menjadikan mahligai impiannya tampak suram.
Sebaliknya ia kelihatan sangat eksklusif, lebih-lebih lagi apabila kabinet televisyen dengan potongan gaya Inggeris menjadi tumpuan pada keseluruhan kediaman.
Selain itu, kerusi chesterfield yang terletak di tengah-tengah ruang tamu pula menyerlahkan lagi aura tema pilihan Aszalina.
Penggunaan rona tembaga yang diselitkan pada beberapa aksesori dan perabot seperti meja dan lampu perhiasan.
Bijak bermain warna, Aszalina menggunakan langsir warna kelabu cair yang sama padan dengan bantal aksesori pada kerusi.
Biarpun beberapa batang pokok tiruan diletakkan pada sudut kediaman, namun keseluruhan ruang tampak begitu harmoni dan seimbang.
Pendek kata, tata rias sentuhan Aszalina begitu sempurna dan tiada cacat cela seiring dengan tema yang cuba diketengahkan.
“Kediaman ini baru empat bulan dihuni. Justeru, saya masih lagi dalam usaha membuat dekorasi ruangan ini.
“Lazimnya idea menghias banyak diperoleh daripada media sosial seperti Instagram dan Pinterest. Saya suka melihat kerja-kerja pereka hiasan dalaman di Malaysia dan luar negara.
“Saya terinspirasi dengan kerja-kerja mereka. Saya mengolahnya mengikut apa yang disukai, contohnya seperti susunan dan padanan warna serta dekorasi,” terangnya lanjut.
Bahagian dapur kediaman tersebut turut mengetengahkan konsep serupa memandangkan ruang itu terbuka dan bersambung antara satu sama lain.
Bijak bermain dengan susun atur, Aszalina meletakkan konsep island di tengah-tengah dapur sebagai tumpuan utama.
Meja makan rona kayu yang digunakan pula memberikan ilusi kontra pada ruang tersebut.
Hanya menggunakan aksesori minimal, namun sentuhan Aszalina berjaya menghidupkan suasana ruang berkenaan.