fbpx

Iman Troye dituduh jalan sana sini langgar SOP PKP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IMAN berang selepas dituduh rentas daerah dan melanggar SOP PKP oleh seorang pengguna Twitter.

PETALING JAYA – Nama penyanyi Iman Troye tiba-tiba menjadi sasaran netizen yang menuduhnya selamba keluar rumah tanpa tujuan meskipun negara sekarang sedang melaksanakan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga.

Iman, 18, memuat naik hantaran daripada Instagram ibunya yang berkongsi tangkap layar ciapan seorang netizen yang mendakwa dia keluar daerah untuk membeli minuman dan aiskrim yogurt.

Pengguna Twitter berkenaan mendakwa pelantun lagu Teman itu menetap di Puncak Alam, Selangor tetapi keluar dari daerah sehingga ke Setia Alam sedangkan sebenarnya dia tinggal di Rawang.

“Iye! Contohnya Iman Troye duduk Puncak Alam selamba je pergi jalan sana sini, jalan minum Starbucks, makan Llao Llao.

“Kat Puncak Alam mana ada semua jadah tu. Setia Alam je paling dekat. Itu pun dah keluar daerah,” dakwa pengguna tersebut.

Berang dengan tuduhan tidak berasas yang dilemparkan terhadapnya, pemilik nama sebenar Iman Alyssa Sahabudin itu menerusi InstaStory mempersoalkan mengapa individu tersebut sanggup menyebar fitnah terhadapnya.

“Sejak bila pula saya tinggal Puncak Alam? Abang kalau tak tahu apa-apa jangan jadi palatao. Bila dah tak ada point, sanggup fitnah orang,” tulisnya.

Sementara itu dalam hantaran yang dimuat naik ibunya, wanita itu berkata, sudah tiba masanya untuk melindungi Iman daripada buli siber dan fitnah.

“Untuk maklumat semua, kami tinggal di Bandar Tasik Puteri, Rawang dan bandar paling dekat dengan jarak 10 kilometer (km) adalah AEON Rawang.

“Di situ semua ada. Pasaraya, McDonald’s dan juga Starbucks. Anak bongsu itu kalau nak makan, akan ke sana untuk beli, bungkus dan balik rumah,” ujarnya.

Tambahnya, setakat ini anak bongsunya itu belum pernah keluar daerah melainkan sekali sahaja ketika pergi ke Balai Polis Dang Wangi di ibu kota untuk mengambil saman.

“Tolonglah, cukuplah fitnah dia hadap selama ini. Jangan ingat kami tak baca semua fitnah itu. Tapi selama ni tak berbaloi untuk layan.

“Jangan ingat sebab nama dia orang kenal. Boleh buat fitnah sesuka hati. Dia masih ada keluarga,” kata ibu Iman.

Iman ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan belum bersedia untuk beri sebarang kenyataan rasmi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI