PETALING JAYA – Institusi Latihan Kemahiran Swasta (ILKS) bakal berdepan kehilangan pendapatan bernilai RM160 juta ekoran terpaksa menamatkan operasi sementara 16 pusat bertauliah swasta sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac, tahun lalu.
Presiden Persekutuan Pusat Bertauliah Jabatan Pembangunan Kemahiran (PBJPK) Malaysia (FeMAC), Azizul Mohd. Othman berkata, daripada 545 pusat bertauliah swasta, 179 lagi tidak dapat membuat sebarang pengambilan pelatih sejak tempoh tersebut.
Menurutnya, program-program latihan yang sedang berjalan juga terpaksa ditangguhkan berkali-kali sekali gus menjejaskan latihan 10,000 pelatih.
“Mengikut unjuran yang dibuat oleh FeMAC, jika keadaan ini berterusan lebih separuh daripada 179 pusat bertauliah akan berdepan dengan risiko penutupan, kira-kira 10,000 tenaga kerja juga bakal kehilangan pekerjaan.
“Sekiranya berlaku penutupan terhadap BPJPK, secara tidak langsung ia akan menjejaskan program latihan, penilaian dan pensijilan kepada pelatih-pelatih yang sedia ada di pusat tersebut,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, bagi mengatasi masalah itu, pihaknya mencadangkan supaya pusat bertauliah dengan sokongan kerajaan mendapatkan suntikan modal daripada instituti kewangan dalam bentuk pinjaman mudah bagi menampung kos operasi untuk tempoh enam bulan.
“Para pelatih khususnya golongan B40 juga perlu diberi dana khas sebagai geran latihan kerana kesukaran mendapatkan penjamin untuk memohon pinjaman latihan daripada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) dalam keadaan sekarang,” ujarnya. – K! ONLINE