GUA MUSANG – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri memindahkan seekor gajah jantan liar seberat dua tan selepas haiwan itu dilaporkan merosakkan tanaman dan memasuki kawasan Ladang Kompleks Perkayuan Kelantan (KPK), Meranto di sini minggu lalu.
Pengarah Perhilitan Kelantan, Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif berkata, operasi pemindahan gajah jantan berusia 15 tahun itu dilakukan dengan bantuan anggota Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Lanchang, Pahang.
Katanya, seramai 12 orang kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan dan 19 orang kakitangan Perhilitan negeri terbabit dalam operasi itu.
“Kami menggunakan dua ekor gajah dikenali Kasturi dan Rambai yang bertindak sebagai denak bagi menjinakkan gajah liar terbabit untuk dipindahkan.
“Kita mengambil masa selama tiga jam setengah bermula 8.30 pagi hingga 12 tengah hari untuk memindahkan haiwan tersebut. Gajah liar itu berada dalam keadaan sihat dan tiada sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – K! ONLINE