GUA MUSANG – Kecuaian seorang pemandu lori yang tidak memakir kenderaan berat dipandunya dengan betul mengakibatkan dua lelaki Orang Asli maut dalam keadaan mengerikan di Kilometer 62, Jalan Gua Musang-Lojing di sini semalam.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 12.25 tengah hari itu menyebabkan pekerja kebun sayur, Rosli Itam, 49, yang menunggang motosikal bersama pembocengnya, Hasmi Alang, 41, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas badan mereka hancur digilis kenderaan berat tersebut.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, sebuah lori yang dipandu seorang lelaki berusia 53 tahun telah diparkir di kawasan berbukit.
Katanya, bagaimanapun, lori berkenaan secara tiba-tiba mengundur ketika pemandunya sedang membantu membaiki sebuah lagi lori rakan sekerjanya yang rosak.
“Disebabkan kawasan parkir itu menuruni bukit, lori berkenaan telah berundur sendiri sejauh 714 meter sambil bergesel dengan tembok simen pembahagi jalan.
“Semasa kejadian, dua lelaki Orang Asli yang sedang menaiki motosikal datang dari arah belakang telah bertembung dengan lori yang sedang mengundur itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – K! ONLINE