PETALING JAYA – Dua menara baharu akan dibina bagi menangani masalah capaian internet di Kampung Bamban dan Kampung Batu 14 di Tenom, Sabah.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, langkah itu diambil susulan laporan yang memaklumkan kesusahan yang dialami beberapa guru untuk menghantar bahan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) kepada anak murid mereka.
Menerusi laporan itu, kata MCMC, beberapa guru Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Hwa, Pekan Tenom, Sabah terpaksa memandu sejauh 40 kilometer, gara-gara capaian internet lemah.
“Justeru, MCMC ingin memaklumkan bahawa sebuah menara komunikasi sedang dalam proses pembinaan di Kampung Bamban dan dijangka siap pada April 2022.
“Sebuah lagi menara komunikasi baharu akan dibina berdekatan Kampung Batu 14 di bawah inisiatif pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) dan pembinaan tersebut akan bermula pada awal 2022,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut MCMC, pembinaan kedua-dua menara komunikasi itu dijangka dapat mempertingkatkan liputan capaian internet di kedua-dua kawasan.
“Selain itu, ia juga membolehkan para penduduk menjalankan aktiviti seharian mereka dengan lancar,” katanya.-K! ONLINE