SEHINGGA pukul 9 pagi semalam, video uji bakat Nightbirde atau nama sebenarnya Jane Marczewski mendapat lebih 24 juta tontonan sejak dimuat naik di YouTube pada 9 Jun lalu.
Wanita berusia 30 tahun ini merupakan peserta America’s Got Talent (AGT) 2021 yang memasuki musim ke-16 tahun ini.
AGT musim ini dibarisi juri-juri hebat Simon Cowell, Sofia Vergara, Heidi Klum dan Howie Mandel.
Apa yang menarik mengenai Nightbirde ini adalah dia merupakan pemandiri kanser (cancer survivor).
Melalui nyanyian lagu ciptaan sendiri, It’s Ok pada sesi uji bakat itu bukan sahaja membuatkan penonton tertawan, malah kesemua juri tergamam.
Juri yang cerewet mengenai nyanyian, Simon Cowell mengiktiraf bakat penyanyi itu dengan memberikan Golden Buzzer.
Kemuncak sebenar uji bakat tersebut adalah apabila penyanyi itu membalas komen Simon Cowell yang menyatakan penyanyi itu secara bersahaja menceritakan perjalanannya melawan kanser.
“You can’t wait until life isn’t hard anymore before you decide to be happy,” ujar Nightbirde yang memulakan karier nyanyian secara profesional sejak 2014.
Komen balasnya itu bukan sahaja memberi inspirasi kepada penonton, malah semua yang melihat video itu di YouTube. Seolah-olah memberi perasaan menang dan kegembiraan kepada orang ramai.
Ramai membuat carian di platform media sosial berkenaan penyanyi ini, sehingga namanya tersohor.
Pemandiri-pemandiri kanser meninggalkan komen di video-video lama Nightbirde betapa mereka tersentuh dengan semangatnya melawan barah.
Demikian hebatnya penangan AGT, betapa media sosial boleh mengangkat seseorang ke posisi yang tidak terjangkau akal.
Namun, segala apa perihal baik media sosial ini datang dengan sisi jelik.
Lihat sahaja dalam negara kebelakangan ini, apabila golongan-golongan tertentu banyak menjadi mangsa cancel culture.
Cancel culture adalah satu bentuk pemulauan sosial atau ostracism. Istilah moden bagi amalan Tamadun Greek atas nama demokrasi.
Selalunya mangsa-mangsa melibatkan ahli politik dan artis-artis. Reputasi dan kerjaya individu dikenakan gerakan cancel culture ini boleh terjejas.
Tindakan masyarakat memberi tekanan sosial, boikot, pemulauan serta memaksa individu tertentu tanpa berdasarkan bukti sebaliknya menggunakan tuduhan semata-mata.
Selalunya mangsa terpaksa memohon maaf atas isu yang ‘disabitkan’. Jika disalah guna, budaya ini adalah barah sebenar dalam masyarakat.