CUIABA – Jaringan sendiri pemain lawan dan ledakan penggempur sensasi, Edinson Cavani berjaya menjulang Uruguay yang mencatat kemenangan pertama pada saingan Copa America 2021 menewaskan Bolivia 2-0 pagi semalam.
Uruguay memulakan kempen kali ini dengan agak perlahan apabila tewas kepada Argentina 0-1 pada aksi pertama sebelum diikat 1-1 oleh Chile menyebabkan mereka sekadar mengutip empat mata daripada tiga perlawanan dan menduduki tangga keempat Kumpulan A.
Pada aksi tersebut, Uruguay terpaksa menunggu sehingga minit ke-40 untuk mendapatkan gol pembukaan selepas pemain pertahanan Bolivia, Jairo Quinteros cuba mengeluarkan bola hantaran lintang tetapi tertampan ke kaki penjaga golnya, Carlos Lampe sebelum masuk ke gawang sendiri.
Uruguay terus menggandakan asakan pada babak kedua untuk mencari gol tambahan bagi ‘membunuh’ perlawanan tetapi peluang yang dimiliki Cavani dan Luis Suarez gagal disempurnakan dengan baik selain kecekapan Lampe mengawal gawangnya.
Hasrat Uruguay untuk meraih tiga mata dengan selesa tercapai selepas Cavani mencetak namanya sebagai penjaring selepas kali terakhir melakukannya pada November lalu ketika mereka menewaskan Colombia pada aksi kelayakan Piala Dunia 2022.
Cavani yang tidak dikawal berjaya menyempurnakan umpanan daripada Facundo Torres kira-kira 11 minit sebelum perlawanan berakhir.
Kemenangan itu juga mengakhiri kemarau lima perlawanan tanpa kemenangan skuad kendalian Oscar Tabarez itu sekali gus mara ke pusingan suku akhir walaupun bakal berdepan Paraguay pada aksi terakhir. – AGENSI