BRASILIA – Pemain tengah Paraguay, Miguel Almiron menjadi watak penting pasukan itu ketika mereka berjaya membenam cabaran Chile 2-0 pada aksi Copa America 2021 yang berlangsung di Estadio Mane Garrincha pagi semalam.
Kemenangan itu menyaksikan Paraguay mengesahkan tempat di pusingan suku akhir selepas mengumpul enam mata daripada tiga perlawanan dan bakal turun menentang Uruguay pada aksi terakhir peringkat kumpulan.
Paraguay mendahului perlawanan menerusi Braian Samudio yang menanduk masuk bola hasil sepakan penjuru Almiron yang berjaya melepasi jangkauan Claudio Bravo di gawang Chile.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Chile memperkemaskan aksi mereka pada separuh masa kedua untuk mencari gol penyamaan.
Bagaimanapun, Paraguay berjaya menafikan kebangkitan yang cuba dilakukan oleh Chile itu selepas mereka mendapat sepakan penalti apabila Carlos Gonzalez dikasari oleh Gary Medel dalam kotak penalti.
Almiron tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan sepakan tersebut untuk gol kedua Paraguay.
Chile gagal beraksi dengan sempurna pada perlawanan itu apabila beberapa pemainnya seperti Bravo, Medel dan Arturo Vidal gagal mempamerkan prestasi terbaik dan mereka sekadar mencipta satu percubaan tepat sepanjang perlawanan.
Bagaimanapun, Paraguay terpaksa membayar dengan harga mahal kemenangan tersebut ekoran pemainnya, Antonio Bareiro terpaksa meninggalkan padang dengan pengusung selepas mengalami kecederaan lutut.
– AGENSI