LONDON – Seorang wanita yang mengahwini seekor ikan lumba-lumba atau dolfin berkata, tindakannya bukan sesuatu yang salah atau kerana dia ‘miang’, lapor laman berita Daily Star kelmarin.
Sharon Tendler yang merupakan seorang jutawan berkata, dia jatuh cinta dengan haiwan itu yang dinamakan Cindy selepas pertama kali melihatnya pada 2006.
Tendler kemudian sanggup terbang beberapa kali ke Israel untuk melawat kekasihnya itu sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin.
Semasa hari perkahwinannya, Tendler memakai gaun berwarna putih bersama tiara yang diperbuat daripada kuntuman bunga merah jambu.
Ikatan perkahwinan itu disahkan dengan Tendler mencium pasangannya dan membisikkan ‘Saya cintakan kamu’ kepada Cindy.
Namun, jodoh mereka tidak berpanjangan apabila beberapa bulan selepas perkahwinan itu, Cindy disahkan mati pada usia 40 tahun akibat komplikasi perut.
“Perkahwinan itu bukan kerana saya miang. Ia kerana saya memang cintakan dolfin ini.
“Saya lakukannya atas rasa cinta, namun bukan cinta wanita kepada seorang lelaki, ia merupakan perasaan cinta yang saya ada terhadap haiwan ini,” kata Tendler kepada wartawan sejurus selepas majlis perkahwinannya.
Wanita itu juga berkata, walaupun ‘suaminya’ telah mati, dia tidak akan mencari pasangan ikan lain kerana dia hanya ‘mencintai seekor dolfin’ sahaja. -Agensi