fbpx

Virus di udara punca kes meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SISTEM pengudaraan bangunan perlu diteliti semula bagi mengekang kes positif membabitkan kluster tempat kerja. – Gambar hiasan

PETALING JAYA – Penyebaran virus melalui bawaan udara mungkin antara penyebab kes jangkitan Covid-19 di Malaysia masih belum dapat diredakan.

Pensyarah Jabatan Kejuteraan Bioperubatan Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Nahrizul Adib Kadri berkata, pandangan itu selari dengan kewujudan kluster tempat kerja setiap hari.

“Kita lihat kluster tempat kerja antara penyumbang kes jangkitan Covid-19 walaupun telah ada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Kualiti udara dalaman (IAQ) bangunan mungkin antara faktor kes jangkitan masih belum berkurangan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini menyatakan bangunan tertutup yang mempunyai pengudaraan tidak baik lebih berisiko untuk Co­vid-19 merebak berbanding luar bangunan.

Kajian sebuah universiti tempatan pula dilaporkan mendapati ruangan tertutup serta operasi pendingin hawa yang mengitar semula udara akan memudahkan penyebaran virus dalam udara melalui aerosol.

Virus itu dilaporkan mampu terampai lama dalam udara dan tersebar antara dua sehingga enam meter dalam ruangan tertutup tanpa pengaliran udara segar.

Justeru, Nahrizul Adib berkata, SOP di tempat kerja perlu diteliti semula melibatkan aspek pengudaraan sebagai usaha berterusan menangani Covid-19.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Program Mikrobiologi Institut Sains Biologi Fakulti Sains Universiti Malaya, Dr. Jasmine Elanie Khairat turut bersetuju penyebaran virus melalui bawaan udara antara punca kes jangkitan Covid-19 masih tinggi.

Menurutnya, terdapat kajian di luar negara menunjukkan terdapat pergerakan virus Covid-19 melalui udara dalam pejabat atau bilik tempat kerja.

Kata beliau, apabila seseorang yang dijangkiti Covid-19 bersin, virus dalam zarah udara akan terapung dalam ruang bilik itu untuk tempoh tertentu.

“Sesiapa sahaja yang berada atau masuk dalam bilik itu be­risiko untuk dijangkiti Covid-19 kerana zarah udara itu masih terapung dalam bilik itu,” katanya.

Ujar beliau, hasil kajian juga mendapati antara salah satu cara untuk mengurangkan risiko jangkitan adalah dengan meningkatkan kemasukan udara dari luar.

“Kita perlu mendidik masyarakat mengenai penyebaran Covid-19 melalui bawaan udara ini supaya mereka dapat berhati-hati dan tahu apa perlu dilakukan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI