KLANG – Pekerja sektor pembinaan yang masih beroperasi sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan mula menerima suntikan vaksin Covid-19 bermula 1 Julai ini.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, pemberian vaksin kepada pekerja pembinaan yang terlibat dalam projek pembinaan essential itu akan diselaraskan Kementerian Kerja Raya.
“Satu lagi sektor penting bagi ekonomi akan kita mulakan vaksinasi pada 1 Julai iaitu sektor pembinaan dan fokus kepada tapak pembinaan projek essential yang masih beroperasi sewaktu PKP,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sektor pengangkutan (Maritim) di Dewan Kelab Sukan LPK, di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong.
Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi memberitahu, pihaknya akan memperluaskan program vaksinasi sektor industri ini kepada industri lain seperti sektor perladangan.
Tambah beliau, perbincangan juga akan diadakan bersama Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi kerana terdapat juga pekerja-pekerja ladang yang keluar bekerja sepanjang pandemik Covid-19 ini.
“Program vaksinasi ini tidak mengambil apa apa daripada program vaksinasi mainstream dan berjalan seperti biasa.
“Sehingga semalam, kita berjaya menyuntik seramai 268,604 orang dan selama tiga hari berturut-turut, lebih 200,000 orang telah disuntik secara harian dimana peratusan penduduk yang sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos sudah mencecah 15.1 peratus manakala yang lengkap dua dos (5.8 peratus),” ujarnya. – K!ONLINE