PETALING JAYA – Kerajaan disyorkan mewujudkan syarikat tujuan khas (SPV) untuk mengambil alih pinjaman tidak berbayar (NPL) Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) termasuk syarikat yang terlibat dalam industri pelancongan.
Pendekatan ini penting apabila moratorium pinjaman kumpulan tersebut telah tamat.
Menurut Emir Research, melalui SPV tersebut, kerajaan akan mengambil alih pinjaman berkenaan dengan mengubahnya menjadi pinjaman sama ada tanpa faedah atau dengan kadar faedah 0.25 peratus setahun selain menawarkan tempoh pembayaran yang lebih lama.
“Usaha ini adalah salah satu pendekatan bagi memacu pertumbuhan ekonomi dengan segera setelah ketidakpastian pandemik berakhir dan ekonomi dapat dibuka kembali dengan kapasiti penuh atau hampir penuh.
“Melihat kepada model Danamodal dan Danaharta yang berjaya semasa Krisis Kewangan Asia pada tahun 1998, kedua-dua entiti berkenaan boleh menerbitkan bon kupon sifar bertaraf tiga A untuk pelabur institusi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Khazanah Nasional Bhd., dana pencen dan juga syarikat insurans yang kemudiannya akan ditukar dengan NPL daripada bank yang mengambil
bahagian.
“Cadangan pilihan lain adalah PKS meminjam daripada kerajaan melalui SPV untuk melunaskan hutang (sekali bayaran) kepada bank-bank yang berkaitan pada kadar faedah 0.25 peratus dengan tempoh pembayaran yang lebih lama,” katanya dalam laporan yang bertajuk Blok Binaan Cadangan Keluar bagi Malaysia yang dikeluarkan semalam.
Dalam laporan berkenaan, penyelidik daripada firma berkenaan memperincikan teras strategik yang dijangka membantu membuahkan hasil dalam jangka masa pertengahan hingga jangka masa panjang.
Namun, pelaksanaannya harus segera dimulakan agar siap siaga untuk merangsang ekonomi berlaku tepat pada waktunya.
Selain itu, Emir Research menjelaskan, bagi membantu kumpulan isi rumah pula, Cagamas Bhd. disarankan untuk membeli
dan mengambil alih NPL perumahan dengan menawarkan beberapa pilihan disediakan seperti kadar faedah pada sifar atau 0.5 peratus kepada pemilik rumah.
Mengulas mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR), Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia mempunyai banyak ruang untuk menurunkan kadar tersebut kepada 1.5 peratus berbanding 1.75 peratus pada masa sekarang.
Menurutnya penurunan kadar tersebut perlu dibuat pada waktu yang bertepatan agar berkemampuan digunakan secara berkesan dalam keadaan yang mengizinkan.
“Kita boleh menjangkakan bahawa masa yang sesuai untuk menurunkan kadar faedah adalah pada awal tahun 2022,” terangnya.