GUA MUSANG – Kesemua penduduk daripada 111 keluarga Orang Asli di Kampung Angkek dan Podek, Kuala Betis di sini didapati tidak mendaftar sebagai penerima vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Kebanyakan penduduk di kawasan itu memberi alasan untuk tidak menerima vaksin kerana menghidap penyakit kronik, takut sakit selepas disuntik dan tidak ramai Orang Asli dijangkiti Covid-19.
Oleh itu, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) daerah, Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Penerangan daerah dan wakil rakyat telah bersama-sama turun padang untuk menepis prasangka buruk mengenai program itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, beliau bersama JAKOA masuk ke perkampungan Orang Asli itu bagi menerangkan mengenai vaksin.
“Hampir sejam kami memujuk Tok Batin di kampung berkenaan yang menolak suntikan vaksin dengan pelbagai alasan termasuk mempunyai lima jenis penyakit kronik.
“Bagaimanapun, selepas beberapa sesi penerangan dijalankan, mereka mengaku termakan hasutan golongan anti vaksin dan mula memahami kebaikan vaksin. Tok Batin berjanji akan memujuk penduduk kampung turut serta dalam program vaksinasi secepat mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan sesi penerangan rumah ke rumah di Kampung Orang Asli Angkek dan Podek di sini semalam.
Sementara itu, Tok Batin Kampung Angkek dan Podek, Damak Angah berkata, dia memohon maaf kepada pihak kerajaan dan Jakoa kerana termakan hasutan yang tidak betul apabila mempercayai sumber yang ditularkan.
Katanya, meskipun menghidap lima jenis penyakit, namun tiada masalah untuknya menerima suntikan vaksin. -K! ONLINE