fbpx

Pegawai imigresen didakwa makan suap RM15,500

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pegawai imigresen, Mohamad Izhmi (kanan) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini. /FOTO MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN

SEREMBAN – Dua pegawai imigresen didakwa menerima rasuah RM15,500 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini sebagai balasan melepaskan rakyat warga asing daripada dikenakan tindakan.

Kedua-dua tertuduh Mohamad Izhmi Mohamad Nor, 35, dan Muhammad Ali Mohammed Redzwa, 27, yang merupakan Pegawai Imigresen Gred KP19 di Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) bagaimanapun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

Tertuduh pertama, Mohamad Izhmi didakwa atas pertuduhan menerima wang berjumlah RM10,000 daripada Mohamad Jeffry Mohd. Zin sebagai orang tengah yang mana dia mengetahui individu itu mempunyai hubungan dengan kerja rasmi tertuduh di Kedai Burger Aboi, Kampung Jijan di Nilai pada Oktober 2020.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya.

Manakala bagi pertuduhan pilihan, Mohamad Izhmi didakwa di lokasi dan tarikh sama diberikan suapan RM10,000 oleh orang tengah bagi melepaskan warganegara Indonesia daripada sebarang tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63 yang melanggar peruntukan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Tertuduh gagal melaporkan suapan yang diberikan kepada SPRM dan didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau dipenjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, tertuduh kedua, Muhammad Ali didakwa atas empat pertuduhan menerima wang keseluruhan berjumlah RM5,500 daripada Zul Anishaffizie Zakaria sebagai orang tengah melalui empat transaksi berasingan iaitu tiga ke akaun bank milik isterinya dan satu ke akaun individu lain di Maybank Islamic Berhad Cawangan Nilai antara 30 Disember 2017 hingga 1 Disember 2019.

Tertuduh mengetahui individu itu mempunyai hubungan dengan kerja rasminya dan pendakwaan dibuat Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Seterusnya, Muhammad Ali turut didakwa atas empat pertuduhan pilihan dimana dia sebagai Pegawai Imigresen di lokasi, masa dan tarikh sama didakwa diberikan wang suapan berjumlah RM5,500 daripada orang tengah bagi membantu melepaskan warga asing tanpa melalui proses dan prosedur yang betul.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu yang melanggar peruntukan Akta SPRM 2009 untuk melaporkan kesalahan pemberian wang berkenaan kepada SPRM mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) akta sama. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI