fbpx

Operasi latihan kemahiran perlu dibuka segera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB) menggesa agar kerajaan segera memberi kebenaran kepada pembukaan operasi Pusat Latihan Kemahiran yang melaksanakan pendidikan dan latihan teknikal (TVET) kepada golongan belia di negara ini.

Setiausaha Agung PKPB, Mohammad Rizan Hassan berkata, kebenaran tersebut akan membolehkan golongan belia berkemahiran meneruskan latihan amali atau praktikal mereka yang memerlukan 70 hingga 80 peratus kerja-kerja amalan bengkel.

“Gesaan ini dibuat kerana pembelajaran secara online adalah terbatas kepada teorikal sahaja dan ia bukan pengganti jangka panjang untuk pengajaran bersemuka di bengkel serta latihan kemahiran praktikal yang perlu dijalankan di bengkel dengan alatan, kemudahan dan bahan gunahabis sebenar.

“Sejak tahun lepas juga industri mengalami kekurangan tenaga kerja belia berkemahiran yang telah dilatih di Institusi Latihan Kemahiran Awam dan Swasta memandangkan pelatih sedia ada belum menamatkan latihan disebabkan elemen praktikal belum disahkan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kekurangan tenaga kerja belia berkemahiran juga disebabkan adanya pelajar yang tidak dapat menamatkan latihan lebih awal dan memasuki alam pekerjaan dengan kelayakan akademik rendah.

“Selain itu, penutupan banyak ILKS di seluruh negara turut dilihat sebagai penyumbang dan lebih banyak penutupan operasi dijangka akan berlaku dalam masa terdekat.

“Gesaan ini dilihat berasas serta perlu diberi perhatian serius dan tanpa bekalan tenaga kerja terlatih dalam pelbagai tahap yang mencukupi, ia akan menyebabkan industri terus mendesak kerajaan untuk membawa masuk pekerja asing,” ujar beliau – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI