PETALING JAYA: Aktres senior, Nor Albaniah Raffie tidak kisah meletakkan ego ke tepi apabila sanggup menghubungi penerbit drama bagi bertanyakan peluang lakonan.
Kata pelakon berusia 50 tahun itu, memikirkan situasi semasa yang serba mencabar kini sehingga menyebabkan ramai orang berdepan masalah kewangan mendorongnya bergerak pantas mencari ruang.
“Ketika aktiviti penggambaran boleh dijalankan, saya masih meneruskan rutin menghubungi penerbit dan rumah produksi untuk bertanya jika ada watak bersesuaian.
“Soal bayaran pula terpulang kepada mereka untuk pertimbangkan tetapi saya yakin pihak berkenaan akan menawarkan bayaran bersandarkan kadar semasa.
“Daripada saya duduk saja menanti peluang, saya tak kisah pun andai dikata meminta-minta sebab saya mahu bekerja, bukannya memilih watak atau bayaran.
“Lagi pun tiada apa yang perlu dimalukan tambahan pula bidang lakonan ini sahaja periuk nasi saya,” katanya,” katanya kepada Kosmo! Online.
Menginjakkan kaki ke dunia lakonan seawal usia 19 tahun, pelakon tinggi lampai ini menginjak ke arena hiburan pada usia 19 tahun selepas dilamar Ahmad Fauzee untuk membintangi filem Kolej 56.
Antara filem lain yang ditunjanginya termasuk Adik, Main-main Hantu, Warna-warna Hati, Queen Control, Kekasih Awal dan Akhir, KL Wangan serta TownMall.
Tambah ibu tunggal itu, selepas kehilangan suami pada tahun 1994, dia sudah biasa bekerja bagi menampung kehidupan dia dan anak perempuannya yang kini sudah mencecah 27 tahun.
Namun pada masa sama aktres yang selesa disapa Albaniah itu bersyukur mendapat sokongan padu keluarga hingga membolehkannya terus bertahan.
“Mungkin orang kata saya boleh tarik nafas lega sebab anak sudah besar selain punya keluarga terdekat yang sentiasa ada di sisi ketika susah dan senang.
“Tetapi sampai bila saya perlu bergantung kepada orang lain? Pada usia ini pun saya masih mampu mencari rezeki, jadi kenapa perlu berpeluk tubuh?
“Kami ada bil bulanan yang perlu dilunaskan, serta punya komitmen bayaran untuk perkara lain,” katanya yang kali terakhir beraksi dalam televisyen menerusi drama bersiri Scammer.
Ditanya mengenai kehidupannya ketika musim ‘lockdown’ yang memaksa kerja penggambaran dihentikan, katanya sikap berhemat sedikit sebanyak membantunya mengatur kewangan.
“Boleh dikatakan ramai tiada kerja dan hilang punca pendapatan. Saya sendiri tidak terkecuali kerana tiada wang masuk, sebaliknya hanya menggunakan simpanan yang ada.
“Mungkin sejak dulu saya bukan jenis yang suka membazir beli barang mewah, makan tempat mahal atau membazir untuk perkara tak perlu.
“Malah dalam Instagram pun orang cuma nampak saya bekerja. Itu yang dapat saya kongsi di media sosial sebab bagi saya tidak perlu orang tahu saya susah atau senang.
“Jadi biarlah begini, terus bersederhana. Namun saya harap keadaan kembali pulih seperti dulu supaya kami termasuk rakan kru yang turut berdepan kesulitan dapat cari makan semula,” katanya.