SAINT PETERSBURG – Impian Poland untuk melangkah ke pusingan 16 pasukan terbaik Euro 2020 tidak kesampaian apabila tewas 2-3 kepada Sweden pada perlawanan terakhir Kumpulan E di Stadium Krestovsky awal pagi semalam.
Kekecewaan itu paling dirasai penyerang sensasinya, Robert Lewandowski selepas mengakui sukar untuk menerima kekalahan tersebut ketika pasukannya itu mempunyai harapan untuk meneruskan kemaraan.
Kekalahan itu sekali gus menutup peluang Poland yang terdesak memerlukan kemenangan ke atas Sweden untuk menamatkan saingan di tempat ketiga Kumpulan E selepas seri dan tewas dalam dua aksi terdahulu.
“Sudah tentu kekalahan ini menyakitkan dan tersingkir daripada kejohanan ini adalah satu kerugian besar buat kami. Sukar untuk saya menerimanya.
“Anda tidak boleh katakan kami tidak bermain dengan semangat juang yang tinggi atau tanpa cita-cita untuk memenangi perlawanan tetapi seakan ada sesuatu yang hilang dalam pasukan kami.
“Secara keseluruhannya pemain telah mencuba untuk bersaing tetapi ia masih belum mencukupi,” kata Lewandowski.
Pada perlawanan tersebut, Lewandowski dianggap pemain terbaik apabila berjaya menjaringkan dua gol pada minit ke-61 dan ke-84.
Bagaimanapun, kealpaan benteng pertahanan Poland pada minit ke-93 menyebabkan mereka terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada pentas Euro 2020 apabila Viktor Claesson berjaya menjaringkan gol kemenangan.
– AGENSI