PETALING JAYA – Tergantung interpretasi sesiapa yang membaca, penyanyi Naim Daniel berkongsi ciapan berbaur sinikal menerusi Twitter berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh atau ‘total lockdown’ yang masih tiada kesudahan.
Naim atau nama lengkapnya, Muhammad Naim Daniel Baharin, berkata, selain frasa frasa yang sinonim dengan rakyat Malaysia iaitu ‘aku otw’, kini wujud satu terma baharu disebabkan pandemik Covid-19.
“Selain ‘aku otw’, ‘lepas PKP’ pun adalah cara ‘scam’ (penipuan) member (kawan) yang terbaharu,” ciap juara Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL34) menerusi lagu Sumpah itu.
Ciapan berkenaan yang dimuat naik pada 18 Jun lepas menerima lebih 32,000 retweets (ulang kicap) dan hampir 40,000 likes (tanda suka).
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan kerajaan mewartakan total lockdown fasa pertama di seluruh negara yang berkuat kuasa selama 14 hari bermula 1 Jun lalu sebelum disambung untuk tempoh lagi dua minggu.
Bagaimanapun, selepas hampir empat minggu menjalani total lockdown, kes baharu Covid-19 masih tidak menunjukkan penurunan seperti diharapkan rakyat.
Semalam, kes baharu virus maut itu masih tinggi dengan 5,841 kes jangkitan termasuk 84 kes kematian baharu dicatatkan. – K! ONLINE