JEMPOL – Dua sekawan yang berhajat menikmati makanan segera di Bahau selepas membeli dadah di Batu Kikir, kantoi dalam satu pemeriksaan sekatan jalan raya (SJR) di hadapan Taman Sornam, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, anggota polis menahan kereta Proton Persona yang dinaiki dua sahabat berusia 39 tahun berkenaan pada pukul 2.30 petang untuk diperiksa.
Menurutnya, hasil pemeriksaan telah menemui dua peket plastik lutsinar pelbagai saiz berisi bahan disyaki dadah jenis heroin seberat 110.5 gram dan dua peket plastik lutsinar pelbagai saiz disyaki syabu seberat 13.25 gram yang disembunyikan di dalam sebuah beg berdekatan brek tangan.
“Harga pasaran bagi kedua-dua dadah itu dipercayai mencecah RM5,000. Kedua-duanya yang bekerja sebagai buruh mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan keputusan ujian saringan air kencing juga mendapati positif.
“Selain ditangkap atas kesalahan dadah, masing-masing yang beralamat di luar daerah Jempol iaitu Felda Tembangau, Pahang dan Batang Kali, Selangor turut dikompaun sebanyak RM5,000 seorang kerana tiada permit rentas negeri serta melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua suspek berkenaan dipercayai aktif mengedar dadah di kawasan Bahau telah diperintah menjalani tahanan dibawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) selama dua tahun di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Simpang Rengam, Johor dan Batu Gajah, Perak, bermula hari ini.
Dalam perkembangan sama, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Daerah turut berjaya memberkas dua lelaki, kelmarin dalam satu pemeriksaan di tepi jalan Felda Pasoh 2 kurang sejam.
Menurutnya, tangkapan pertama pada pukul 12.40 tengah malam membabitkan penganggur berusia 49 tahun manakala tangkapan kedua pula pada pukul 1.30 pagi melibatkan lelaki berusia 55 tahun selepas kedua-duanya disyaki memiliki dadah. – K! ONLINE