PETALING JAYA – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menyediakan seramai 300 pemeriksa daging yang bersedia memberi perkhidmatan tersebut di rumah sembelihan jabatan, swasta berlesen atau masjid dan surau yang telah mendapat kelulusan untuk melakukan ibadah korban, pada tahun ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Norlizan Mohd. Noor berkata, pemeriksaan itu dilakukan bertujuan memastikan hanya ternakan yang sihat sahaja disembelih serta daging hasil sembelihan adalah bersih dan selamat untuk dimakan.
“Mana-mana pihak yang memerlukan perkhidmatan diminta menghubungi Pejabat Perkhidmatan Veterinar Negeri atau Rumah Sembelih berdekatan untuk tujuan tersebut,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.
Beliau berkata, pada masa ini terdapat penularan penyakit kulit kental atau lumpy skin disease (LSD) dan pihak berkuasa veterinar menjalankan pemeriksaan di ladang serta kandang ternakan di negeri dan daerah dari semasa ke semasa bagi mengesan haiwan ternakan yang dijangkiti.
Menurut Norlizan, hasil kerjasama dengan penternak, pihaknya telah menghapuskan ternakan yang dijangkiti menerusi penyembelihan di rumah sembelih jabatan berdekatan bagi mengawal dan mencegah penyebaran penyakit LSD.
“Setakat ini ancaman penyakit LSD adalah terkawal dengan bekalan ternakan dianggarkan sebanyak 43,000 ekor lembu termasuk kerbau serta 33,000 ekor kambing dan biri-biri dijangka mencukupi untuk menampung keperluan korban tahun ini,” jelasnya.
Menurutnya, aktiviti korban dibenarkan dijalankan di 27 rumah sembelihan JPV, 35 rumah sembelihan swasta berlesen selain masjid dan surau yang mendapat kelulusan pihak berkuasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) ibadah korban yang diluluskan Majlis Keselamatan Negara (MKN). – K! ONLINE