LONDON – Seorang ibu mengumpul beratus-ratus patung orang kerdil dinamakan gnome selama 30 tahun dan menempatkannya di serata tempat di halaman rumahnya sehingga menjadi tarikan penduduk setempat, lapor akhbar The Sun kelmarin.
Anne Yeomans, 60, berkata, bermula dengan hanya mempunyai sebuah patung kerdil arnab, minatnya itu semakin lama semakin mendalam sehingga menjadi satu koleksi yang besar.
“Saya amat sukakan koleksi-koleksi ini. Ia adalah kebanggaan saya.
“Orang menganggap perhiasan itu aneh. Saya rasa sesiapa sahaja yang melalui jalan ini akan tertarik kepadanya termasuk pekerja penghantaran,” ujarnya.
Tambah Yeoman, disebabkan keunikan patung-patung kerdilnya itu, orang ramai turut bermurah hati dan mendermakan wang syiling yang diletakkan pada dinding rumahnya.
Sumbangan tersebut telah berjaya mencecah sehingga ribuan pound yang digunakan untuk kebajikan kanak-kanak.
“Mereka berkata mereka ingin melakukan sumbangan derma,” katanya.
Disebabkan patung kerdil tersebut, Yeoman dikenali dalam kalangan penduduk setempat sebagai Puan Gnome-ans. – AGENSI