fbpx

Glaukoma penyebab kebutaan mata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEMERIKSAAN mata untuk mengesan glaukoma penting bagi mencegah berlaku masalah kebutaan. – GAMBAR HIASAN

MATA merupakan salah satu pancaindera terpenting dalam kehidupan seseorang kerana dengannya kita dapat melihat keindahan alam ciptaan Tuhan, selain berupaya membezakan sesuatu benda dengan tepat dan jelas.

Justeru, kita semua perlu sentiasa menjaga organ tersebut dengan baik agar ia kekal sihat bagi mengelak daripada sebarang penyakit berkaitan mata.

Namun, masih ada antara kita yang memandang remeh tentang kepentingan kesihatan mata sehingga menyebabkan berlaku masalah glaukoma.

Pakar Perunding Oftalmologi dan Pakar Glaukoma, Pusat Perubatan Sunway, Dr. Lim Hsien Han berkata, glaukoma adalah penyebab utama masalah kebutaan yang tidak dapat dipulihkan.

Menurutnya, ia menjadi penyebab kedua kepada masalah kebutaan di peringkat global selepas masalah katarak.

“Glaukoma adalah penyakit yang merosakkan saraf optik mata. Terdapat beberapa jenis glaukoma dan dua jenis utama adalah sudut terbuka dan sudut tertutup.

“Glaukoma sudut terbuka paling biasa berlaku dan menyumbang kepada hampir 90 peratus daripada keseluruhan kes,” jelasnya.

Ujarnya, masalah ini berkembang dengan perlahan dan selalunya mengambil masa bertahun-tahun dan ia dikaitkan dengan peningkatan terhadap tekanan mata.

 

Oleh itu, glaukoma ini boleh ‘meragut penglihatan secara senyap’ yang mana seseorang itu tidak menyedari tentang masalah itu selama bertahun-tahun sehingga hilang penglihatan.

Dr. Hsien Han menjelaskan, secara umumnya masalah itu berlaku kerana kegagalan mata untuk menjaga keseimbangan cecair yang terdapat di dalamnya.

Dalam hal ini jelasnya, penghasilan jumlah cecair dalaman dengan jumlah cecair yang mengalir keluar tidak seimbang.

Katanya, pengeluaran jumlah cecair jernih di mata yang terlalu banyak, bersama penyumbatan aliran keluar menyebabkan peningkatan tekanan intraokular (IOP) yang sekali gus menyebabkan glaukoma.

“Peningkatan tekanan IOP akan mengakibatkan kerosakan saraf optik sehingga boleh menyebabkan kebutaan,” terangnya.

Terang Dr. Hsien Han lagi, glaukoma kerap berlaku pada kumpulan usia lebih tua dan ia juga boleh terjadi kepada mereka yang mempunyai sejarah keluarga penghidap penyakit itu.

Dalam perkembangan berkaitan, pesakit yang mempunyai masalah kesihatan lain seperti diabetes, darah tinggi dan migrain juga lebih berisiko berhadapan dengan masalah ini.

Jelasnya, glaukoma sudut terbuka biasanya tidak ada gejala ketara semasa peringkat awal hingga pertengahan.

Menurutnya, dalam hal ini, sebanyak 40 peratus penglihatan boleh hilang tanpa disedari.

“Mata akan kelihatan normal secara luaran, tetapi kehilangan penglihatan cenderung berlaku pada tahap akhir penyakit ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, ujar Dr. Hsien Han, bagi glaukoma sudut tertutup pula, gejala kepada masalah ini adalah rasa sakit kepala tiba-tiba, penglihatan menjadi kabur akibat kenaikan tekanan intraokular.

“Ini akan mengakibatkan mata kelihatan merah, bengkak, berair dan kornea kelihatan cloudy,” terangnya.

 

PERBEZAAN ketara antara mata normal (kiri) dan yang telah dijangkiti glaukoma.

Pengesanan awal dengan melakukan pemeriksaan mata adalah kunci untuk mencegah berlakunya kebutaan akibat masalah glaukoma.

Pakar mata akan melakukan beberapa ujian, antaranya ujian ketajaman visual yang mana ia mengukur seberapa baik keadaan mata untuk melihat pada jarak jauh.

Selain itu, ujian tonometri juga akan dilakukan bagi mengukur tahap tekanan mata dan pemeriksaan medan penglihatan untuk mengukur fungsi tahap kerosakan saraf optik.

Ujian pengimejan komputer saraf optik turut dilakukan bagi mengukur tahap kehilangan serat saraf optik.

Untuk pemeriksaan fundus pula dilakukan bagi melihat keadaan saraf optik dan retina.

Mendiagnosis glaukoma kadangkala bukanlah sesuatu yang mudah.

Penilaian teliti terhadap saraf optik sangat penting untuk diagnosis, merawat serta mengelakkan penglihatan seseorang terhad atau mengalami masalah kebutaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI