SERDANG – Tindakan licik dua lelaki menukar ‘cover set’ motosikal selepas melakukan aktiviti samun bagi mengelak dikesan pihak berkuasa tidak berpanjangan apabila mereka berjaya dicekup di sekitar Petaling Jaya, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A. Anbalagan berkata, pihaknya menerima satu laporan polis daripada seorang lelaki warga Bangladesh memaklumkan telah disamun oleh dua lelaki.
“Mangsa yang merupakan juruwang di sebuah kedai serbaneka 24 jam di Bandar Puteri Puchong di sini berkata, kira-kira pukul 7 pagi, telah datang seorang lelaki ingin membeli kad tambah nilai dan tidak lama kemudian seorang lagi lelaki yang memakai topi keledar masuk ke kedai dan memintanya menyerahkan wang.
“Kedua-dua suspek kemudiannya telah membawa lari sebuah kotak besar mengandungi rokok juga wang tunai dan kerugian keseluruhan dianggarkan bernilai kir-kira RM8,000,” katanya pada satu sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Anbalagan, susulan laporan yang diterima, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah D9, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang telah berjaya menahan dua lelaki tempatan serta dua lelaki warga Indonesia pada 20 Jun lalu di sekitar kawasan Petaling Jaya.
“Kesemua suspek berusia 25 hingga 28 tahun dan dua lelaki tempatan tersebut disyaki terlibat dengan masing-masing dua kejadian samun di Daerah Serdang, Petaling Jaya dan Kuala Lumpur.
“Dua warga Indonesia yang ditahan itu pula bekerja sebagai pembantu sebuah kedai runcit serta merupakan rakan subahat yang akan membeli barangan hasil samun berkenaan dan pemeriksaan lanjut juga mendapati mereka tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah,” ujar beliau.
Jelas Anbalagan, kedua-dua suspek akan menukar cover set motosikal mereka selepas selesai melakukan aktiviti samun bagi menyukarkan kegiatan mereka di kesan pihak berkuasa.
“Menerusi tangkapan tersebut, pihak polis turut merampas beberapa barangan seperti dua unit telefon bimbit, sebuah motosikal Yamaha LC 125 berserta dua topi keledar dan lima komponen cover set motosikal berwarna kelabu.
“Penangkapan kedua-dua suspek dipercayai telah menyelesaikan sebanyak enam kes samun di sekitar Lembah Klang dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkawan tanpa senjata api,” tegas beliau. – K!ONLINE