PETALING JAYA – “Maaf dik. Tapi saya rasa tak patut nak bandingkan saya dengan mana-mana penyanyi pun.”
Itu komen balas penyanyi Siti Sarah Raisuddin, membidas kenyataan seorang pengguna YouTube yang mengkritik cara nyanyiannya menerusi single duet terbaharu yang berjudul Semakin Benci Semakin Cinta bersama Shuib.
Penyanyi berusia 37 itu berpendapat, cara nyanyian atau vokalnya tidah harus dibanding-bandingkan dengan mana-mana penyanyi, sama ada Nabla Razali, Mariah Carey, Anita Mui mahupun Lata Mageskhar kerana setiap orang memiliki kelebihan masing-masing.
“Saya sendiri sebenarnya sangat hormat dengan Nabila. Dia seorang bakat baharu, suka berusaha, tidak mudah putus ada dan pandai cari peluang dalam bidang muzik,” tulis Sarah dalam Instagram.
Kenyataan balas tersebut diluahkan Sarah selepas vokalnya menerusi duet terbaharunya bersama suaminya, Shuib, Semakin Benci Semakin Cinta dikatakan lebih sesuai digantikan dengan penyanyi Nabila Razali yang kedengaran lebih moden.
Bahkan, sebagai penyanyi yang sudah berkecimpung dalam industri selama hampir 20 tahun, penyanyi lagu Kesetiaan itu mengakui bahawa dia masih belajar untuk memperbaiki kelemahan vokalnya.
“Maaflah saya nak komen jujur sikit. Saya rasa lagu ini okey sebenarnya. Tapi vokal Sarah macam tak okey. Ada sesuatu yang saya rasa kurang dan tak layak lagu ini untuk dia (Sarah).
“Bagi saya Shuib nyanyi dah sedap. Kalau Shuib duet dengan Nabila Razali pasti lagu ini akan popular sebab bentuk suara Nabila moden. Budak-budak baru suka (bbnu).
“Macam suara Sarah, suara dia tak moden. Harap Sarah yang mengandung tak payahlah nak sentap (merajuk),” komen seorang netizen dalam YouTube.
Terpukul dengan komen sebegitu, Sarah yang selama berkecimpung dalam dunia muzik menjelaskan, dia belum pernah mendengar istilah suara moden dan tertanya-tanya tentang apa yang dimaksudkan individu berkenaan.
“Tak tahu pula ada kelas buat suara jadi moden. Suara moden itu apa sebenarnya? Maaflah saya betul-betul tidak tahu. Mungkin adik boleh komen banyak lagi atau lebih jelas secara terperinci.
“Lepas ini saya boleh perbaiki dan cari cikgu vokal yang boleh ajar suara jadi moden. Saya terbuka dengan semua komen sebab saya sendiri nak majukan diri lagi,” ujarnya.
Dalam kesempatan itu juga, Sarah memberitahu bahawa lagu tersebut (Benci Semakin Cinta) mempunyai maksud yang sungguh mendalam untuk dirinya begitu juga dengan suami.
“Tidak mungkin saya nyanyikan bersama orang lain begitu juga dengan Shuib,” katanya.
Terdahulu, Sarah dan Shuib kini tampil dengan lagu duet berjudul Benci Semakin Cinta ciptaan dan lirik oleh komposer terkenal, Ajai yang dirakamkan sejak setahun lalu ketika negara berhadapan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang pertama. -K! ONLINE