JAKARTA – Seorang budak perempuan berumur tujuh tahun tidak bersekolah kerana perlu menjaga ibunya yang mengalami penyakit kemurungan, lapor portal berita SuaraJabar hari ini.
Kanak-kanak tersebut, Sinta Murni tinggal di Desa Kroya, Kabupaten Indramayu.
Masanya digunakan untuk menjaga dan memenuhi keperluan ibunya, Nani, 37, termasuk makan dan minum.
Sinta juga tidak tahu di mana bapanya berada.
Dia dan ibunya tinggal berdua di rumah mereka yang daif. Rumah umpama pondok usang tersebut berukuran sekitar 4 x 5 meter.
Dinding rumah itu hanya satu perempat bahagiannya dibina daripada bata, manakala bakinya adalah bambu. Kediaman mereka juga berlantaikan tanah. Ibu dan anak itu tidur hanya beralaskan tikar.
Sinta dan Nani kerap dibantu oleh jiran tetangga yang memberikan makanan kepada mereka. Sesekali, Nani keluar mencari barang kitar semula untuk dijual.
Kadang-kadang Sinta pula keluar mencari makanan untuk mengisi perut mereka. Seorang pegawai masyarakat, Adi Wijaya berkata, daripada maklumat yang diperolehnya, Nani menikah secara agama dan tidak pernah mendaftarkan pernikahan tersebut di pejabat agama.
Nani dan suaminya kemudian dikurniakan tiga orang anak. Dua anak mereka dibawa pergi oleh suaminya, manakala Sinta tetap tinggal bersama ibunya.
Kehidupan harian mereka sukar dan serba kekurangan.
Keadaan mereka semakin daif sejak ibunya mengalami kemurungan beberapa tahun lalu sehingga tidak berupaya mengurus anak dan mencari nafkah.
Nani dan Sinta selama ini tidak memiliki dokumen kependudukan apapun. Hal itulah yang membuat keduanya tergendala dalam menerima program bantuan pemerintah.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada dia ingin bersekolah, Sinta mengaku sangat menginginkannya.
“Saya ingin ke sekolah seperti kanak-kanak lain. Saya bercita-cita menjadi seorang doktor,” kata Sinta.
Menurutnya, dia mahu menjadi doktor untuk merawat dan membahagiakan ibunya. Agensi