PETALING JAYA – Mesin pengimbas suhu badan yang disediakan sebuah kedai menyala dengan sendiri seolah-olah sedang memeriksa suhu badan ‘seseorang’ walaupun tiada kelibat sesiapa, tular di laman Twitter sejak Isnin lepas.
Menerusi sebuah video berdurasi 11 saat itu memaparkan mesin pengimbas suhu tersebut pada awalnya tidak mengesan apa-apa suhu badan kerana tiada orang, namun secara tiba-tiba mesin itu memaparkan suhu 35 darjah Celcius.
Menurut lelaki yang merakam video tersebut @afndysd memberitahu, mesin pengimbas suhu itu berbunyi pada waktu Maghrib sahaja dan tidak berbunyi pada waktu yang lain kecuali ada pelanggan yang datang.
“Jika mahu kata mesin pengimbas suhu itu sensitif, saya rasa tidak. Ini kerana, mesin pengimbas suhu itu hanya akan berbunyi pada waktu Maghrib. Waktu yang lain dia senyap sahaja.
“Mengenai azan di kedai, kedai saya bersebelahan dengan sebuah surau dan saya masih tidak berani untuk membuat bacaan ruqyah. Mungkin juga ada masalah pepijat (bug) pada mesin pengimbas suhu tersebut,” jelasnya.
Rata-rata pengguna laman Twitter berseloroh dan mahu menyedapkan hati tuan kedai tersebut daripada berfikir negatif mengenai kehadiran entiti yang menyeramkan itu.
“Nasib baik suhu normal. Kalau demam, jangan bagi dia masuk,” seloroh @JYNBErso.
“Comel je hantu ni, main ‘scan’ suhu pula. Baru saya tahu suhu badan hantu lagi rendah dari manusia. Mungkin sebab dah mati, hantunya sejuk,” gurau @fathihah_azmi.
“Periksa suhu je? Cuba periksa aplikasi MySejahtera, mana tahu mungkin ada dalam senarai,” balas @ahmdpudinn di laman Twitter. – K! ONLINE.