PUTRAJAYA – Sebanyak 122,328 panggilan diterima menerusi Talian Bantuan Sokongan Psikososial bermula 1 Januari hingga 18 Jun dengan 89.4 peratus atau 109,806 panggilan berkait rapat dengan isu-isu psikologi kesan daripada pelbagai masalah sosial.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ia meliputi kehilangan punca pekerjaan dan pendapatan, hilang tempat bergantung, pergaduhan antara ahli keluarga dan masalah rumah tangga (pertengkaran, perpisahan, penceraian) serta penderaan (emosi dan fizikal).
Menurutnya, Talian Bantuan Sokongan Psikososial yang diwujudkan sejak 25 Mac tahun lalu mendapati, kebanyakan pemanggil memerlukan sokongan emosi dan kaunseling.
“Sepanjang pandemik Covid-19 terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlaku, masyarakat sememangnya terkesan dari segi emosi dan kesihatan mental.
“Tekanan tidak hanya dialami oleh kakitangan di sektor awam dan petugas kesihatan atau petugas barisan hadapan, tetapi turut dirasai oleh golongan lain dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini. -K! ONLINE