KETIKA melancong, kasut adalah antara item penting yang perlu diberi perhatian supaya kita dapat menikmati percutian dengan selesa walaupun ketika menempuh perjalanan jauh.
Mungkin ada antara kita yang pernah mengalami pengalaman kaki melecet serta tapak kasut tercabut ketika bercuti. Ini pastinya akan ‘merosakkan’ mood percutian.
Justeru, adalah penting untuk kita membuat sedikit ulang kaji mengenai pemilihan kasut yang betul supaya dapat menikmati percutian dengan selesa sebaik sahaja sektor pelancongan dibuka apabila pandemik Covid-19 berada dalam keadaan terkawal.
Bagi mengurangkan bebanan ketika melancong atau mengembara, tidak perlu membawa kasut yang banyak, cukup memilih satu sepatu paling selesa dan sesuai untuk sebarang aktiviti dirancang.
Sehubungan itu, pada kali ini Horizon ingin berkongsi tip pemilihan kasut yang betul untuk pergi melancong atau mengembara.

– GAMBAR HIASAN
1.Aktiviti ketika melancong
Terlebih dahulu, anda perlu jelas mengenai lokasi pelancongan dan aktiviti yang bakal dilakukan supaya membawa kasut yang sesuai.
Sebagai contoh di tempat yang licin, berair dan sejuk memerlukan pemakaian kasut yang sesuai dengan keadaan itu agar kita tidak terjatuh atau kedinginan.
Oleh itu, jangan kedekut untuk membeli kasut yang selesa dengan harga lebih mahal agar ia tahan lasak untuk kegunaan sepanjang percutian tersebut.
2.Material ringan
Pilih kasut dengan material ringan supaya anda tidak kepenatan ketika berjalan dan kaki juga tidak sakit atau lenguh kerana terpaksa menampung bebanan.
Berjalan memerlukan tenaga yang banyak. Maka, pilih kasut ringan dan elakkan pemakaian kasut but kerana ia terlalu berat serta padat sehingga menimbulkan ketidakselesaan pada kaki.
3.Kasut tumit tinggi
Elakkan memakai kasut tumit tinggi. Sebaiknya pilih tapak kasut jenis rata dengan ketinggian yang disyorkan adalah tidak lebih daripada 5 sentimeter (2 inci).
Sekiranya memakai kasut yang terlampau tinggi menyebabkan kaki mudah berasa penat, malah berpotensi untuk cedera di buku lali, terjatuh dan sebagainya.

– GAMBAR HIASAN
4.Kusyen kasut
Teknologi penghasilan kasut sudah berkembang seiring peredaran zaman.
Terdapat pelbagai pilihan kasut dengan rekaan kusyen dalamnya lebih lembut yang membuatkan anda seolah-olah berjalan di atas permukaan air.
Usah khuatir untuk memilih kasut tersebut. Jangan segan untuk meminta pandangan daripada staf berpengalaman di kedai kasut yang sentiasa bersedia bagi membantu anda mendapatkan barangan terbaik.
Jangan ambil mudah mengenai kusyen dalam yang lembut kerana ia berfungsi untuk melindungi kaki daripada mudah lenguh, sakit serta melecet.