SAINT PETERSBURG – Impian Poland untuk melangkah ke peringkat 16 terbaik Euro 2020 hancur berkecai selepas tewas 2-3 kepada Sweden pada aksi terakhir Kumpulan E di Stadium Krestovsky sebentar tadi.
Kekalahan itu menutup rapat peluang Poland yang terdesak memerlukan kemenangan ke atas Sweden untuk menamatkan saingan di tempat ketiga Kumpulan E selepas seri dan tewas dalam dua aksi terdahulu.
Skuad bimbingan Paulo Sousa itu bagaimanapun dikejutkan dengan gol awal Sweden menerusi kapten, Emil Forsberg yang memanfaatkan kesilapan barisan pertahanan Poland seawal minit kedua.
Poland berpeluang menyamakan kedudukan dalam babak pertama menerusi Robert Lewandowski, namun tandukannya dua kali terkena palang gol sebelum rembatan jarak jauh Piotr Zielinski diselamatkan penjaga gol Sweden, Robin Olsen.
Tugas Poland semakin mencabar selepas mereka sekali lagi melakukan kesilapan dengan membenarkan Dejan Kulusevski membuat larian solo sebelum melorongkan bola kepada Forsberg untuk meledak gol kedua Sweden pada minit ke-59.
Poland tidak berputus asa dengan serangan bertali arus dan berjaya merapatkan jurang menerusi sepakan lencong menarik daripada Lewandowski (m-61) sebelum bintang Bayern Munich itu menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-84.
Bagaimanapun, Poland terpaksa akur dan mengucapkan selamat tinggal kepada pentas Euro 2020 selepas kelekaan di benteng pertahanan mereka membenarkan Sweden meledak gol kemenangan melalui Viktor Claesson pada minit ke-93.
Kemenangan itu menyaksikan Sweden menjuarai Kumpulan E dan dijadualkan menentang pasukan tempat ketiga daripada Kumpulan B atau C di peringkat 16 terbaik pada 29 Jun ini. – K! ONLINE