LONDON – Pemain muda sensasi England, Bukayo Saka mengakui sangat gembira apabila berjaya membalas kepercayaan yang diberikan oleh ketua jurulatih, Gareth Southgate untuk meletakkannya dalam kesebelasan utama ketika menewaskan Republik Czech 1-0 awal pagi semalam.
Pada aksi terakhir Kumpulan D yang berlangsung di Stadium Wembley itu, Saka mempamerkan aksi dalam kelas tersendiri apabila mengucar-ngacirkan benteng pasukan lawan selain gerakan lincahnya menjadi punca England meraih gol yang disempurnakan oleh Raheem Sterling.
Kata Saka, keyakinan penuh serta nasihat yang diberikan oleh Southgate telah membakar semangatnya untuk memberikan aksi 100 peratus buat skuad The Three Lions sehingga berjaya dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan.
“Jurulatih (Southgate) memberi peranan bebas buat saya di jentera serangan sekali gus membuatkan saya bekerja keras untuk membalas kepercayaannya kerana dia mahu saya beraksi sama seperti ketika bersama pasukan kelab, Arsenal musim lalu.
“Mengenai jaringan yang kami lakukan, saya bernasib baik apabila memulakan gerakan serangan itu tetapi tidak berpeluang untuk menyudahkan hantaran Jack Grealish sebaliknya bola itu berjaya ditanduk oleh Sterling.
“Apa yang penting, pasukan mencatat kemenangan sekali gus memberi kepuasan buat penyokong kami di Wembley. Mengenai peluang untuk aksi kalah mati, saya tidak meletakkan harapan tinggi jika kekal dalam kesebelasan utama atau pemain simpanan,” katanya.
Sementara itu, Southgate sangat berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan oleh anak-anak buahnya dalam memastikan mereka menamatkan saingan sebagai juara peringkat Kumpulan D.
“Saya lihat banyak perkara positif kali ini kerana Republik Czech adalah pasukan berkualiti, namun kita berjaya mengekang setiap asakan selain memberi kesukaran buat benteng pertahanan mereka,” katanya. – AGENSI