KUANTAN – Kerana terlalu percaya kepada rakan wanita yang baru dikenali beberapa hari di laman sosial, seorang peniaga mengalami kerugian RM23,125 selepas ditipu dalam satu skim pelaburan yang tidak wujud.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa berusia 51 tahun dari Kampung Perting di Bentong berkenalan dengan seorang wanita warganegara China bernama Sisi di laman sosial Facebook pada 14 April lalu.
“Mereka kemudian berbalas mesej menggunakan aplikasi WeChat selama beberapa hari sebelum wanita terbabit mengajak mangsa membuat pelaburan mata wang dan telah memberikan satu pautan internet.
“Mangsa yang berminat dengan pelaburan berkenaan telah memasukkan wang berjumlah RM23,125 ke dua akaun bank berbeza melalui lima transaksi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohd. Wazir, selepas beberapa minggu, mangsa tidak dapat akses ke akaun pelaburannya menyebabkan dia berasa ditipu oleh wanita serta ejen pelaburan berkenaan dan tampil membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
“Kita percaya ia satu sindiket penipuan terancang namun kes berkenaan masih lagi dalam siasatan mengikut Sekyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan sehingga 10 tahun, dikenakan sebatan dan denda,”ujarnya. – K! ONLINE