fbpx

Ronaldo perlu satu gol lagi untuk cipta sejarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CRISTIANO Ronaldo menunjukkan tanda bagus ketika meraikan jaringan kedua Portugal menerusi sepakan penalti pada saingan peringkat Kumpulan F, Euro 2020 di Puskas Arena, Budapest sebentar tadi. - AFP

BUDAPEST – Penyerang prolifik Portugal, Cristiano Ronaldo kini kekurangan satu gol sahaja lagi untuk memahat nama selaku penjaring gol antarabangsa terbanyak di dunia.

Ronaldo, 36, ketika ini sudah meledak 109 gol dalam 177 penampilan di peringkat antarabangsa sekali gus menyamai rekod semasa dipegang legenda bola sepak Iran, Ali Daei yang melakukannya sepanjang 149 perlawanan dari 1993 hingga 2006.

Kejayaan tersebut terhasil menerusi dua jaringan daripada pemenang lima Ballon d’Or itu buat Portugal ketika seri 2-2 dengan juara dunia, Perancis pada aksi terakhir Kumpulan F, Euro 2020 di Puskas Arena sebentar tadi.

Lebih bermakna, pencapaian peribadi Ronaldo itu secara tidak langsung membantu skuad juara Eropah berkenaan mengesahkan tempat ke peringkat 16 terbaik sebagai salah satu daripada empat pasukan tempat ketiga kejohanan yang mara ke pusingan seterusnya.

Ronaldo yang kini beraksi dengan Juventus di Itali, berpeluang memintas rekod Ali Daei sekiranya berjaya meledak gol apabila Portugal berhadapan Belgium dalam aksi peringkat 16 terbaik di Estadio de la Cartuja, Seville pada 28 Jun ini.

Sebagai info, Ronaldo telahpun memahat rekod baharu Euro baru-baru ini sebagai pemain pertama yang menjaringkan gol dalam lima penampilannya beraksi pada kejohanan berprestij Eropah itu.

Bekas bintang Real Madrid dan Manchester United itu juga adalah penjaring terbanyak dalam sejarah penganjuran Euro dengan keseluruhan 14 jaringan setakat ini, memintas rekod lama dipegang Michel Platini iaitu sembilan gol.

INFO
REKOD PENJARING TERBANYAK ANTARABANGSA
Ali Daei (Iran) – 109 gol
Cristiano Ronaldo (Portugal) – 109 gol
Mokhtar Dahari (Malaysia) – 89 gol
Ferenc Puskas (Hungary) – 84 gol
Godfrey Chitalu (Zambia) – 79 gol
Hussein Saeed (Iraq) – 78 gol
Pele (Brazil) – 77 gol
Ali Mabkhout (UAE) – 76 gol
Sandor Kocsis (Hungary) – 68 gol
Kunishige Kamamoto (Jepun) – 75 gol
Bashar Abdullah (Kuwait) – 75 gol – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI